SKUAD bola jaring UiTM meraih emas dalam temasya SUKIPT 2022. FOTO Ihsan Sukipt
SKUAD bola jaring UiTM meraih emas dalam temasya SUKIPT 2022. FOTO Ihsan Sukipt
Affan Rostam


Tanjung Malim: Universiti Teknologi Mara (UiTM) unggul di pentas akhir acara bola jaring Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 selepas menewaskan juara bertahan, Universiti Putra Malaysia (UPM) 17-15, petang tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menyaksikan UiTM terpaksa menghadapi tentangan sengit daripada pasukan UPM sebelum berjaya bangkit di hujung permainan sekali gus memastikan pingat emas dalam genggaman mereka.

Jurulatih UiTM, Addre Shah Naddra Din berkata, ini adalah kejayaan paling bermakna buatnya apabila berjaya mengatasi pasukan pilihan seperti UPM.

Malah, beliau turut berbangga dengan prestasi kesemua pemainnya biarpun tidak ada kelibat pemain kebangsaan dalam pasukannya itu.

"Ini adalah edisi paling bermakna untuk saya kerana sebelum ini kami hanya berjaya menamatkan saingan di tempat kedua saja.

"Alhamdulillah rezeki kami tahun ini. Saya memang percaya dengan barisan pemain walaupun dalam pasukan UiTM kami tidak ada seorang pun pemain kebangsaan," katanya ketika ditemui sejurus selepas perlawanan.

Jelasnya, kepercayaan tinggi yang diletakkan kepada barisan pemainnya menjadi kunci kepada kejayaan UiTM hari ini.

"Saya letakkan kepercayaan sepenuhnya kepada 12 pemain yang dibawa. Saya percaya semua pemain boleh bermain dan akan sentiasa berikan yang terbaik.

"Tips saya kepada pemain iaitu sentiasa satu hati, satu kepala dan saling percaya satu sama lain. Itu saja yang saya selalu tekankan kepada pemain," katanya.

Untuk rekod, ini kali pertama UiTM berjaya memenangi sukan bola jaring sejak kali pertama ia dipertandingkan dalam temasya SUKIPT.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 10:40 PM