Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berucap ketika Persidangan Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor di Dewan Midtown, Kubang Menerong, Tasek Gelugor. FOTO Nur Izzati Mohamad
Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berucap ketika Persidangan Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor di Dewan Midtown, Kubang Menerong, Tasek Gelugor. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Pemuda Umno akan menyusun strategi dalam menarik sokongan anak muda terhadap calon yang akan dikemukakan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos depan.

Ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata pihaknya akan berusaha sehabis baik untuk merampas kembali kerusi terbabit dengan strategi tersendiri.

"Pilihan raya ini ada 1,001 kemungkinan… Hari ini kita boleh kalah, lusa boleh menang, jadi sudah tentu kita ada strategi yang tersendiri (untuk menawan pengundi khususnya anak muda).

"Kita akan berusaha sehabis baik untuk kita merampas (kerusi) DUN Nenggeri (apatah lagi) kita kalah (pada Pilihan Raya Negeri lalu) dengan majoriti undi 800 sahaja.

"Saya pun dah turun ke Nenggiri dan kita dah tengok (keadaan di sana) yang saya rasa ada keyakinan Nenggiri kita boleh rampas dengan izin Allah," katanya ketika diminta mengulas strategi Pemuda Umno dalam menarik undi anak muda yang disifatkan semakin kronik susulan kekalahan Calon Perpaduan pada PRK Sungai Bakap, 6 Julai lalu.

Terdahulu, beliau ditemui ketika Merasmikan Persidangan Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor di Dewan Midtown, Kubang Menerong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO sudah mengemukakan nama dari pergerakan itu untuk dipertimbangkan kepimpinan tertinggi.

"Tapi apa sekalipun, dia (senarai calon) akan bergantung kepada keputusan yang akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi.

"Apabila kita nak mencalonkan (seseorang) itu, kita nak cari calon yang terbaik. Jadi, di (DUN) Nenggiri ini kita dah ada calon muda yang terbaik yang saya rasa boleh berkhidmat untuk rakyat (di sana)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 7:52 PM