Motosikal PDRM jenis Honda CBX 750 yang ditunggangi anggota trafik dari IPK Kelantan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO IHSAN PDRM
Motosikal PDRM jenis Honda CBX 750 yang ditunggangi anggota trafik dari IPK Kelantan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO IHSAN PDRM
Siti Rohana Idris


Tumpat: Seorang anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan patah paha kiri selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar sebuah van.

Dalam kejadian tengah hari tadi di Jalan Kubang Panjang, di sini, mangsa dari Kota Bharu menghala ke Pengkalan Kubor bagi tugasan rasmi kawalan lalu lintas sempena lawatan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pada jam 12.50 tengah hari tadi pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan jalan raya terbabit.

"Siasatan mendapati, mangsa yang berusia 28 tahun menunggang motosikal PDRM jenis Honda CBX 750 bergerak menghala ke Pengkalan Kubor.

"Sebaik tiba di lokasi, sebuah van yang dipandu lelaki berusia sekitar 50-an berada di hadapan anggota sebelum bertindak membelok ke kanan.

"Mangsa cuba mengelak ke kanan tapi gagal lalu terlanggar pintu bahagian pemandu van terbabit menyebabkan mangsa parah akibat patah paha kiri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khairi berkata mangsa yang berpangkat Konstabel dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 8:33 PM