Dr Ahmad Zahid bersama Onn Hafiz ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Muar, di sini, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Dr Ahmad Zahid bersama Onn Hafiz ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Muar, di sini, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Johor terus kekal sebagai 'fixed deposit' atau deposit tetap parti itu pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, sebelum ini Umno dan Barisan Nasional (BN) menjadi deposit tetap di Sabah dan parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan.

"Tetapi, disebabkan situasi politik sudah berubah, ia menyebabkan landskap politiknya juga bertukar.

"Di Johor, apabila kita menang 40 daripada pada 56 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) pada PRN (Pilihan Raya Negeri) lalu. Insya-Allah di Johor akan terus menjadi deposit tetap Umno dan BN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Muar, di sini, hari ini yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Ketua Bahagiannya, Datuk Ashari Md Sarip.

Dr Ahmad Zahid berkata, untuk mengekalkan momentum kemenangan pada pilihan raya akan datang, Umno bukan sahaja perlu mengekalkan DUN Sungai Balang tetapi perlu merampas Parlimen Muar dan DUN Maharani.

Katanya, selain Parlimen Muar, parlimen lain yang Umno tewas perlu dikembalikan semula untuk membolehkan parti itu terus kukuh.

"Saya berasa sangat dekat dengan Johor apabila kita (Umno) menang pada PRN lalu dengan kemenangan dua pertiga, sekali gus kerajaan Johor yang terbina atas dokongan kerusi yang dimenangi Umno dan BN.

"Kehilangan Sabah berpunca daripada situasi politik (masalah kecil) dan saya harap di Johor masalah kecil diselesaikan.

"Saya fikir di bawah kepimpinan Onn Hafiz, kita akan terus menjadi negeri yang kuat bukan sahaja dari ahli Umno tetapi orang Johor keseluruhannya," katanya.

Pada PRU14 lalu, kerajaan negeri yang ditunjangi Umno dan BN buat pertama kali tumbang di Johor selepas hanya menang 19 daripada 56 kerusi DUN ditandingi sekali gus membolehkan Pakatan Harapan (PH) menerajui negeri itu.

Di peringkat Parlimen pula, parti itu hanya menang lapan daripada keseluruhan 26 kerusi.

Sementara itu, Dr Ahmad Zahid berkata, beliau menjadi sasaran sekali pun parti itu menang besar ketika PRN Melaka dan Johor pada 2021 dan 2022.

"Ketika kita menang di Johor lebih dua pertiga... menang di Melaka 21 daripada 28 kerusi DUN... kita menang tujuh PRK (Pilihan Raya Kecil), siapa menjadi presiden ketika itu?

"Presiden Umno itulah yang dikutuk habis-habisan... tidak berprestasi, dibaling dengan pelbagai fitnah bukan sahaja dari luar tapi dalam parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 8:24 PM