Jurulatih Sepanyol Luis de la Fuente(kiri) manakala Pengurus England Gareth Southgate(kanan).
Jurulatih Sepanyol Luis de la Fuente(kiri) manakala Pengurus England Gareth Southgate(kanan).
Reuters

Berlin: England sudah pastinya mahu menamatkan kemarau hampiur enam dekad tanpa trofi dalam kejohanan besar namun perlu mengatasi Sepanyol yang dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi Euro 2024.

Beraksi di Olympiastadion di ibu kota Jerman jam 3 pagi ini, sudah pastinya dinantikan penyokong bola sepak seluruh dunia untuk menyaksikan pertembungan membabitkan Sepanyol yang melangkah ke pentas final penuh dramatik manakala England pula berjaya mengharungi situasi genting sebelum ke peringkat akhir.

England sudah pastinya merasai bahang kerana tidak pernah mengangkat trofi sejak Piala Dunia 1996 namun laluan berliku yang diharungi mereka sudah pastinya membuatkan pasukan itu lebih kental berhadapan Sepanyol.

"Saya rasa keyakinan semakin meningkat ketika kami melalui kejohanan ini, dengan apa yang kami harungi dengan gol lewat dan penentuan penalti. Ia membina ketahanan," kata kapten England Harry Kane.

Kedua-dua pasukan tiba di Berlin dari kem latihan masing-masing iaitu England di Blankenhain berhampiran Leipzig dan Sepanyol di Donaueschingen di Black Forest.

Pengurus England Gareth Southgate mengungkapkan kata-kata kepada anak buahnya sebagai peniup semangat untuk berhadapan Sepanyol

"Kami mempunyai pengalaman yang baik dalam perlawanan besar sekarang dan saya rasa pada saat-saat seperti ini anda tidak perlu mengatakan terlalu banyak kepada pemain, mereka tidak memerlukan motivasi untuk perlawanan seperti ini.

"Ia mengenai memastikan perkara kecil betul kerana situasi itu boleh mengubah keputusan pada perlawanan itu," katanya.

Sementara itu, jurulatih Sepanyol Luis de la Fuente mendedahkan tidak mahu terlalu meletakkan bebanan dan 'meminta' terlalu banyak daripada barisan anak buahnya ketika turun pada pentas final awal pagi Isnin.

"Saya selalu berasa malu kerana saya meminta terlalu banyak dari mereka tetapi saya tidak meminta apa-apa yang istimewa,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 9:01 PM