Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim pada sidang media selepas Program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) di Kuantan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim pada sidang media selepas Program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) di Kuantan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Asrol Awang


Kuantan: Kos sara hidup, gaji, peluang pekerjaan dan pendidikan antara isu yang dibangkitkan golongan belia sepanjang sembilan program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) yang diadakan di seluruh negara setakat ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim, berkata dengan maklum balas dan pandangan itu, kerajaan memandang serius isu yang dibangkitkan golongan berkenaan.

Katanya, daripada maklumat itu, Kementerian belia dan Sukan (KBS) dapat merumuskan isu yang dibangkitkan untuk persediaan pada belanjawan akan datang.

"Pada masa sama, kita terima secara terbuka segala kritikan sepanjang Kembara JOM. Kita bersedia menerima kritikan paling tajam sehingga pujian paling melambung.

"Apa yang penting mesti ada ruang bagi mereka untuk bersuara dan sebagai kerajaan, kita kena bersedia untuk dengar kritikan ada yang bercakap soal elaun, dasar dan sebagainya.

"Itu semua perkara yang realistik atau perkara yang menjadi realiti hari ini, kita tidak boleh sepikan diri dan elak. Ada peluang dan ruang kita perbetulkan," katanya ketika ditemui media pada Program Kembara JOM di Dewan Dato' Sri Abdul Manan Ismail, di sini hari ini.

Adam Adli berkata, Kembara JOM adalah inisiatif KBS melalui Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bagi membolehkan pemegang taruh belia menyampaikan maklum balas dan pandangan terhadap draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia secara terus kepada kepimpinan tertinggi KBS.

Katanya, maklum balas dan pandangan yang diterima itu akan digunakan untuk memuktamadkan pelan itu yang bakal menjadi pemacu pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668].

"Antara kandungan utama kepada pindaan Akta 668 adalah merangkumi penurunan definisi had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun.

"Pindaan Akta 668 telah diluluskan di Parlimen pada 2019 dan akan berkuat kuasa 1 Januari 2026," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 9:45 PM