PASUKAN futsal wanita UM meraikan kejayaan mereka. FOTO SUKIPT
PASUKAN futsal wanita UM meraikan kejayaan mereka. FOTO SUKIPT
Affan Rostam


Tanjung Malim: Skuad futsal wanita Universiti Malaya (UM) berjaya mengesahkan kejuaraan selepas menundukkan Universiti Putra Malaysia (UPM) 8-1 pada saingan akhir liga sepusingan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 sebentar tadi.

Skuad futsal wanita UM berjaya memenangi empat daripada lima perlawanan sekali gus membuktikan mereka berada pada kelas tersendiri dalam temasya SUKIPT kali ini.

Jurulatihnya, Farhanah Abdullah berkata, dia cukup berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan anak buahnya pada setiap perlawanan.

"Kejuaraan ini amat manis buat kami kerana seperti sedia maklum, semasa Karnival Futsal Wanita Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebelum ini kami tumpas dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di final.

"Ini semua adalah misi balas dendam dan lagi manis sebenarnya adalah semua pemain menunjukkan peningkatan yang sangat baik. Mereka juga bermain dengan cemerlang pada setiap perlawanan," katanya ketika ditemui di Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI), hari ini.

Tambah Farhanah, barisan pemainnya perlu lebih memanfaatkan peluang yang terhidang dengan sebaiknya kerana itu adalah kunci kemenangan dalam acara futsal ini.

"Apa yang perlu diperbaiki, mereka perlu memanfaatkan segala peluang yang terhidang. Boleh diumpamakan, beribu-ribu peluang dihidangkan tapi kami tak ambil.

"Pada saya itulah futsal, siapa yang ambil peluang dia menang. Apa yang saya boleh katakan untuk pasukan futsal wanita UM, ini adalah perkara yang perlu ditambah baik," katanya.

Untuk rekod, skuad futsal wanita UM berjaya mengumpul 12 mata daripada lima perlawanan sekali gus melayakkan mereka meraih emas.

Manakala pingat perak diraih Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan gangsa Kolej Poly-Tech Mara (KPTM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 4:19 PM