PASUKAN ragbi (7s) lelaki UPM berjaya meraih emas dalam SUKIPT 2022. FOTO SUKIPT
PASUKAN ragbi (7s) lelaki UPM berjaya meraih emas dalam SUKIPT 2022. FOTO SUKIPT
Affan Rostam


Tanjung Malim: Universiti Putra Malaysia (UPM) mendominasi acara ragbi tujuh sebelah (7s) di Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 apabila berjaya membolot dua emas menerusi pasukan lelaki dan wanita mereka.

Bagi pasukan lelaki, mereka tidak berdepan masalah untuk menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 42-0 dalam aksi final yang berlangsung di Padang Istiadat, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sebentar tadi.

Jurulatihnya, Mohamad Nazeer Nesharah berkata, pembabitan sembilan pemain kebangsaan memberi impak besar kepada pasukannya untuk meraih emas.

"Pada tahun ini persiapan kami hanya ringkas saja, tapi kita gunakan kelebihan pemain yang baru pulang daripada Sukan Komanwel.

"Walaupun ia tugas berat bagi mereka tapi Alhamdulillah mereka berjaya tukar kepada perkara yang boleh membantu mereka sehingga mencapai sasaran.

"Dengan sembilan pemain negara itu memberi kelebihan tetapi tanpa yang lain juga kita takkan dapat capai apa yang kita mahukan," katanya ketika ditemui sejurus selepas tamat perlawanan.

Mohamad Nazeer mengakui dia berpuas dengan kemenangan kali ini kerana mereka berjaya membalas dendam kekalahan pada SUKIPT edisi 2018 apabila tewas di tangan UIAM pada perlawanan akhir.

"Saya berpuas hati dengan kemenangan dan juga prestasi pemain kali ini. Akhirnya kita berjaya bawa balik pingat emas ragbi ini kembali ke bumi Serdang," katanya.

PASUKAN ragbi (7s) wanita UPM berjaya meraih emas dalam SUKIPT 2022. FOTO SUKIPT
PASUKAN ragbi (7s) wanita UPM berjaya meraih emas dalam SUKIPT 2022. FOTO SUKIPT

Bagi pasukan ragbi (7s) wanita UPM, mereka berjaya mengesahkan kejuaraan selepas menewaskan pasukan Politeknik Malaysia pada perlawanan akhir.

Meskipun pada awalnya UPM dilihat agak ketinggalan, namun semangat juang tinggi yang dipamerkan menjadikan kemenangan berpihak kepada mereka sekali gus memenangi perlawanan akhir dengan keputusan 13-10.

"Kredit perlu diberikan kepada pasukan saya. Walaupun satu ketika mereka ketinggalan agak jauh, tapi mereka tetap berusaha untuk bangkit.

"Akhirnya mereka bukan sahaja berjaya menyamakan kedudukan tetapi berjaya memenangi perlawanan ini. Ia satu persembahan yang perlu diberi pujian," kata jurulatihnya, Fat Hor Rozi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 7:00 PM