KONTINJEN UPM muncul juara SUKIPT 2022, sekali gus mengulangi pencapaian pada 2018.
KONTINJEN UPM muncul juara SUKIPT 2022, sekali gus mengulangi pencapaian pada 2018.
Affan Rostam


Tanjung Malim: Universiti Putra Malaysia (UPM) mengekalkan status selaku kuasa besar dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) apabila muncul juara keseluruhan buat kali kedua berturut-turut dalam temasya edisi kelima itu.

Kejayaan meraih 38 pingat emas, 19 pingat perak dan 20 pingat gangsa dalam temasya kali ini menyaksikan UPM mengulangi kecemerlangan mereka pada SUKIPT edisi 2018 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penangguhan SUKIPT selama hampir empat tahun akibat pandemik Covid-19 sama sekali tidak menjejaskan pembangunan atlet berkaliber dalam kalangan penuntutnya, sekali gus mewarnai arena sukan tempatan.

Jika dilihat, kejayaan UPM membuktikan mereka berada di landasan tepat untuk terus konsisten melahirkan graduan cemerlang akademik mahupun kokurikulum.

Olahraga menjadi penyumbang pingat terbesar buat UPM apabila mengungguli 19 daripada 37 acara dipertandingkan.

Ketua kontinjen UPM, Dr Tajularipin Sulaiman berbangga dengan pencapaian diraih kontinjennya biarpun terdapat beberapa acara sukan yang menjadi sasaran tidak dapat menghadirkan kilauan emas.

"Secara keseluruhannya, akademi sukan UPM amat berbangga dengan pencapaian atlet dalam kejohanan SUKIPT 2022 kali ini.

"Saya amat berpuas hati dengan pencapaian kontinjen UPM kali ini walaupun ada beberapa acara sukan yang kami sasar tidak berjaya mendapatkan emas. Bagaimanapun saya lihat atlet sudah berjuang sehabis baik," katanya.

Tajularipin turut memaklumkan atlet UPM yang berjaya meraih pingat emas dalam temasya SUKIPT kali ini akan menerima insentif khas.

Sementara itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menamatkan temasya di kedudukan kedua dengan kutipan pingat 19 emas, 18 perak dan 33 gangsa. Manakala, Sunway Universiti mencipta kejutan apabila menduduki tempat ketiga dengan pungutan 15 emas, 18 perak dan 11 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 2:29 PM