PASUKAN ragbi 7s UIAM, mara ke peringkat separuh akhir esok. FOTO SUKIPT
PASUKAN ragbi 7s UIAM, mara ke peringkat separuh akhir esok. FOTO SUKIPT
Affan Rostam


Tanjung Malim: Pasukan ragbi tujuh sebelah (7s) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya menempah satu slot ke separuh akhir temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022.

UIAM yang juga juara SUKIPT edisi 2018 itu tidak berdepan sebarang masalah untuk menewaskan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada peringkat suku akhir dengan keputusan 12-5.

Jurulatih skuad ragbi 7s UIAM, Khairul Azhar Shaarani bersyukur kemenangan berpihak kepada mereka dan berharap pemainnya mampu meneruskan momentum sama pada peringkat separuh akhir esok.

"Pada perlawanan ini, aksi agak seimbang ditampilkan oleh kami dan UPNM. Ini kerana masing-masing mahu mencari kemenangan untuk melayakkan diri ke separuh akhir.

"Bagaimanapun, alhamdulillah kemenangan berpihak kepada kami. Saya harap mereka mampu beraksi dengan lebih baik selepas ini bagi mencerahkan peluang mara ke perlawanan akhir," katanya ketika ditemui sejurus selepas perlawanan menentang UPNM di Padang Istiadat Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.

Dalam masa sama, dia percaya peluang besar menanti pasukannya untuk layak ke peringkat akhir yang turut akan berlangsung esok.

"Saya berani cakap peluang kami untuk ke final adalah sebanyak 90 peratus. Dengan pemain-pemain yang baru sekarang ini dan mereka ikut program saya, Insya-Allah saya percaya kemampuan mereka," katanya.

Menanti UIAM di separuh akhir adalah pasukan Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang mara selepas menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 12-10.

Selain UIAM dan UTP, Universiti Putra Malaysia (UPM) turut mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM), 38-5.

UPM akan membuat perhitungan bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang turut mara selepas menumbangkan Kolej Profesional Mara (KPM), 19-14.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 6:23 PM