SKUAD futsal lelaki UiTM meraih emas dalam SUKIPT 2022. FOTO SUKIPT
SKUAD futsal lelaki UiTM meraih emas dalam SUKIPT 2022. FOTO SUKIPT
Affan Rostam


Tanjung Malim: Skuad futsal lelaki Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengesahkan kejuaraan mereka dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 selepas membelasah Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) 8-0 dalam aksi final petang tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menyaksikan UiTM tidak berdepan sebarang masalah untuk menjinakkan lawan mereka sekali gus berjaya mencatat kemenangan besar ke atas KPTM.

Jurulatihnya, Addy Shairullyzam Mohd Shafiee mengakui semangat serta konsistensi daripada barisan pemainnya cukup untuk menjadikan keputusan perlawanan akhir itu berpihak kepada mereka.

"Walaupun kami menang tapi tetap ada persaingan yang hebat daripada lawan. Bagi saya, semangat yang ada daripada pemain antara faktor kemenangan kami.

"Bila dapat peluang dan mereka berjaya menghasilkan gol, itu yang meningkatkan keyakinan pemain sehingga mampu menjadi juara untuk SUKIPT ini," katanya ketika ditemui sejurus selepas perlawanan.

Jelas Addy, antara lain kunci kejayaan mereka adalah kerjasama yang kuat dalam kalangan pemain.

"Pemain bermain dalam keadaan tiada tekanan, mengambil peluang yang terhidang serta mengurangkan kesilapan-kesilapan mudah. Jadi, kekuatan pasukan ini adalah kerjasama daripada semua pemain.

"Apa yang pemain bagi dalam kejohanan ini memang memadai. Daripada hari pertama perlawanan mereka memberikan sepenuhnya komitmen sehingga kami berjaya menjadi juara," katanya.

Dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, UPSI berjaya memanfaatkan kelebihan mereka sebegai tuan rumah untuk menewaskan Universiti Utara Malaysia (UUM), 4-2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 9:25 PM