ATLET UPM, Andre Anura Anuar meraih pingat emas ketiga peribadi di SUKIPT 2022 apabila memenangi acara lompat kijang lelaki, hari ini.
ATLET UPM, Andre Anura Anuar meraih pingat emas ketiga peribadi di SUKIPT 2022 apabila memenangi acara lompat kijang lelaki, hari ini.
Affan Rostam


Tanjung Malim: Atlet olahraga Universiti Putra Malaysia (UPM), Andre Anura Anuar terus menyengat di arena trek dan balapan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 apabila meraih emas ketiganya menerusi acara lompat kijang lelaki, hari ini.

Acara berlangsung di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menyaksikan Andre mengesahkan kemenangan dengan lompatan sejauh 14.99 meter (m).

Pingat perak menjadi milik atlet tuan rumah, Muhammad Sunik Muslimin dengan lompatan sejauh 14.51m manakala Muhammad Nafeez Akmal Zamri dari UPM melengkapkan podium di tempat ketiga (14.50m).

Atlet berusia 21 tahun itu jelas berpuas hati dengan pencapaiannya ketika ini biarpun mengakui terpaksa bertanding dalam kepenatan akibat jadual latihan padat.

"Saya gembira dapat sumbang tiga emas dalam penampilan pertama saya di SUKIPT. Kalau ikutkan UPM sasarkan dua emas saja bagi saya, tapi saya dapat bonus satu emas.

"Sebenarnya saya banyak melakukan kesilapan, hari ini, dan lompatan kedua turut batal, jadi saya perlu tambah baik lagi pada masa akan datang.

"Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati walaupun penat sebab minggu ini jadual agak padat dengan latihan," katanya ketika ditemui sejurus selepas pertandingan.

Andre yang juga atlet lompat kijang negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022, baru-baru ini menganggap kejayaannya itu adalah hadiah buat UPM yang sudah banyak membantu dalam karier sukannya.

Sebelum ini, atlet berusia 21 tahun itu menghadiahkan dua emas buat UPM menerusi acara 4x100 meter (m) lelaki dan lompat jauh lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 2:36 PM