Datuk Armizan Mohd Ali ketika Majlis Perasmian Penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Datuk Armizan Mohd Ali ketika Majlis Perasmian Penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini mengumumkan dua inisiatif terkini di bawah inisiatif Ihsan Rahmah Madani (IRM), iaitu program Ihsan Cashback dan i-Mesra.

Ia bagi membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup selain meningkatkan daya saing peniaga tempatan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata Ihsan Cashback adalah program 'cashback' atau pulangan tunai menerusi e-dompet atas pembelian melalui rangkaian rakan kongsi dengan bermatlamatkan untuk membantu pengguna menjimatkan perbelanjaan, meningkatkan daya beli dalam ekonomi Malaysia dan mengekalkan sokongan kepada peniaga tempatan.

Menurutnya, sistem i-Mesra pula adalah platform pengurusan perniagaan digital yang membantu pengusaha perkhidmatan makanan dalam mengurus inventori, memberi rujukan bahan ramuan menyeluruh kepada pengguna, pengurusan kewangan, pemasaran, proses pengesahan digital, perlindungan liabiliti dan keuntungan bersama pihak Halal DevelopmentCorporation & Mimos Bhd.

"Ia ditujukan untuk menyokong perniagaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) terutamanya dalam sektor makanan dan minuman.

"Antara ciri-ciri penting Ihsan Cashback termasuk pendaftaran mudah, rangkaian luas, proses penebusan ganjaran yang fleksibel, penebusan saluran silang untuk pelbagai perkhidmatan di Malaysia serta sektor makanan dan minuman.

"Ihsan Cashback dan i-Mesra diharapkan memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga bagi semua sektor dan perkhidmatan di Malaysia; manakala sektor makanan dan minuman yang menggunakan platform i-Mesra boleh menawarkan promosi khas atau 'cashback' kepada pengguna yang menggunakan Ihsan Cashback.

"Ia dijangka dapat meningkatkan daya tarikan perniagaan mereka. Gabungan dua inisiatif ini diharapkan dapat membantu pengguna mengurangkan beban kos sara hidup ketika berbelanja harian dan seterusnya merangsang peniaga tempatan untuk memperluaskan pasaran mereka selaras dengan insiatif KPDN di bawah 'Kempen Beli Barangan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian sempena menyempurnakan Pra-Pelancaran dua inisiatif terkini sektor swasta terbabit sempena Majlis Perasmian Penutup Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam; dan Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 6:54 PM