HOE Yean dan Rouxin semakin menunjukkan peningkatan. FOTO Hazreen Mohamad
HOE Yean dan Rouxin semakin menunjukkan peningkatan. FOTO Hazreen Mohamad
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Dublin, Ireland menjadi lokasi fasa akhir persiapan dua perenang negara, Khiew Hoe Yean dan Tan Rouxin sebelum beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Teknikal Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Megan Oesting berkata, Dublin adalah lokasi paling sesuai untuk kedua-dua perenang negara itu menyesuaikan diri dengan beberapa faktor termasuk cuaca sebelum beraksi di Paris 2024.

"Pasukan Ireland akan berada di sana, ia akan menjadi pengalaman hebat buat Hoe Yean dan Rouxin untuk mempelajari sesuatu daripada perenang mereka.

"Bagaimana mereka berlatih, bersedia untuk latihan, kekuatan mental dan fokus mereka. Kami fikir, apabila berada di persekitaran sama (dengan perenang dari Ireland), ia akan menjadi contoh terbaik buat mereka.

"Ireland akan menjadi lokasi terbaik buat mereka untuk membiasakan diri dengan zon waktu, membiasakan diri dengan suasana dan bersiap sedia secara mental untuk Paris 2024 nanti," katanya.

Kedua-dua perenang itu meraih tiket wild card daripada badan Akuatik Dunia dan Hoe Yean akan beraksi dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki manakala Rouxin yang berusia 18 tahun akan beraksi menerusi acara 100m kuak dada wanita.

Rouxin memperoleh tonik terbaik apabila memecahkan rekod kebangsaan 200 meter (m) rampaian individu di Kejohanan Akuatik Renang Kebangsaan 'Short Course', baru-baru ini.

"Dia sedang membina keyakinannya. Ini peringkat baharu untuk dia kerana sebelum ini sebagai pelapis. Satu lonjakan besar untuk ke Olimpik dan harap dia dapat menimba pengalaman dan mengekalkan rentaknya di tahap sebegitu," kata Oesting merujuk kepada prestasi semasa Rouxin.

Acara renang akan berlangsung di Paris La Defense Arena dari 27 Julai hingga 4 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 8:26 PM