PEMAIN UiTM meraikan kemenangan ke atas UPM.
PEMAIN UiTM meraikan kemenangan ke atas UPM.
Affan Rostam


Tanjung Malim: Skuad bola sepak Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak berdepan laluan sukar untuk mara ke final temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 selepas menewaskan Universiti Putra Malaysia (UPM) 5-1, pagi tadi.

Pada aksi yang berlangsung di padang Turf Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menyaksikan pemain UiTM, Muhammad Zharif Nazhan Refli membuka tirai jaringan seawal minit ke-10.

Sembilan minit selepas itu, UPM yang kembali memperkemaskan corak serangan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Aiman Norhakim Nordin.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak kekal lama apabila Muhammad Faris Hafiz Azhar menjaringkan gol kedua UiTM pada minit ke-24 sekaligus menjadikan kedudukan 2-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Muhammad Faris memastikan UiTM terus di hadapan apabila sekali lagi merobek gawang UPM pada minit ke-51 sebelum melengkapkan jaringan hatriknya pada minit ke-74.

Muhammad Zharif menambah derita UPM apabila sekali lagi mencetak nama selaku penjaring gol kelima pada minit ke-85 sekali gus menyaksikan keputusan 5-1 kekal hingga ke wisel penamat.

Jurulatih UiTM, Mohd Yazli Yahaya berkata, pasukannya berjaya memanfaatkan ruang yang diperoleh hasil daripada kesilapan lawan dan menjadikan kemenangan berpihak kepada mereka."

Alhamdulillah syukur dengan kemenangan ini. Sebenarnya kami tak menjangka boleh menang sebesar ini di pentas separuh akhir.

"Ini kerana UPM boleh dikatakan asukan hebat. Namun kesilapan yang kerap dilalukan mereka digunakan sebaiknya pemain-pemain saya untuk mendapatkan jaringan.

"Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati dengan aksi ditampilkan pemain UiTM. Saya harap momentum ini dapat diteruskan pada aksi final nanti," kata UiTM bakal membuat perhitungan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada perlawanan akhir yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini di Stadium, UPSI.

UPSI berjaya menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium UKM, pagi tadi.

Dua gol UPSI dijaringkan oleh Mohd Alief Najmi Mohd Radzi pada minit ke 44 dan Muhammad Aiman Hakim Jaafar menambah jaringan sembilan minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 3:48 PM