PRESIDEN MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. FOTO ASWADI ALIAS
PRESIDEN MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. FOTO ASWADI ALIAS
Daripada Amirullah Andi Nur

Birmingham: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berpuas hati dan bangga dengan pencapaian kontinjen negara pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila berjaya melepasi sasaran enam pingat emas.

Kontinjen Malaysia yang hanya diperkuatkan 104 atlet menghimpun tujuh emas selain lapan perak dan lapan gangsa untuk menduduki tangga ke-10 keseluruhan temasya ini yang berakhir semalam.

Pencapaian itu menyamai prestasi pada Sukan Komanwel terakhir di Gold Coast, Australia pada 2018 dengan meraih tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa untuk berada di tangga ke-12 keseluruhan.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, berbanding sebelumnya, Sukan Komanwel kali ini agak berbeza kerana diadakan selepas berakhirnya pandemik Covid-19, sekali gus memberi cabaran besar dan suasana baru kepada atlet.

"Secara keseluruhannya kita berbangga dengan pencapaian kontinjen negara pada temasya kali ini yang diadakan selepas berakhirnya era pandemik.

"Biarpun berhadapan pelbagai cabaran dan kesukaran, mereka (atlet negara) dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik dan berjaya.

"Apapun, memang kita dari awal lagi yakin kontinjen negara mampu melepasi sasaran ditetapkan berdasarkan kepada penilaian prestasi semasa atlet. Kita ucap tahniah kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pencapaian kontinjen negara pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di sini, yang berakhir semalam selepas berlangsung sejak 28 Julai lalu.

Hadir sama, Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan timbalannya, Gerard Monteiro Clair; Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.

Norza turut mengumumkan atlet gimrama, Ng Joe Ee dan badang negara, Mohd Aznil Bidin sebagai atlet paling berjaya pada temasya Birmingham 2022.

Menurutnya, pemilihan Joe Ee berdasarkan kejayaan meraih dua emas bagi disiplin bola dan riben manakala Aznil menjadi juara acara 61 kilogram (kg) lelaki selain mencipta tiga rekod baharu temasya iaitu bagi acara snatch (127kg) dan clean and jerk (158kg) dengan angkatan keseluruhan 285kg.

Katanya, secara keseluruhannya, sukan angkat berat paling cemerlang apabila meraih dua emas dan satu perak selain memecahkan empat rekod temasya.

Selain Aznil, satu lagi emas diraih Mohamad Aniq Kasdan bagi kategori 55kg manakala Muhammad Erry Hidayat memperoleh perak kategori 73kg.

Bagi kem gimrama pula, Mohamad Norza kagum dengan semangat ditampilkan atlet negara kerana tetap cemerlang biarpun tanpa kehadiran jurulatih Russia yang disekat masuk ke United Kingdom.

Mengenai pencapaian sukan badminton, Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memuji pencapaian atletnya yang memenangi dua emas, satu perak dan dua gangsa.

Pada masa sama, beliau menamakan beregu wanita Pearly Tan serta M Thinaah dan jaguh perseorangan, Ng Tze Yong sebagai atlet paling bernilai sukan itu pada temasya kali ini.

"Mereka berjaya membuktikan kemampuan luar biasa sehingga layak ke final dan seterusnya memenangi pingat emas dan perak.

"Juara powerlifting dunia, Bonnie Bunyau Gustin yang mencatat rekod baharu temasya dengan angkatan 220kg membuktikan beliau sememangnya luar biasa," katanya.

Pada masa sama, Norza turut mengiktiraf pencapaian atlet muda yang menyinar pada temasya kali ini dengan menyaksikan lapan daripada 28 atlet bawah 21 tahun menang pingat.

Menurutnya, ia menunjukkan negara tidak ketandusan bakat muda mampu menyumbang pingat di temasya sukan besar seperti Birmingham 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 5:44 PM