KANAK-kanak membawa periuk mengandungi makanan yang disumbangkan di Nuseirat. FOTO AFP
KANAK-kanak membawa periuk mengandungi makanan yang disumbangkan di Nuseirat. FOTO AFP
Bernama-Wafa

Ramallah: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran Semenanjung Gaza di ambang kehilangan seluruh generasi kanak-kanak akibat serangan berterusan Israel sejak 7 Oktober 2023.

Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan Pengarah Komunikasi UNRWA, Juliette Touma berkata dalam satu hantaran di X bahawa lebih 600,000 kanak-kanak di Gaza tidak dapat bersekolah sejak perang Israel bermula.

Beliau merujuk kepada penutupan sebilangan besar sekolah dan sekolah-sekolah UNRWA menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang hilang tempat tinggal.

"Ini bermakna jika perang ini berterusan, kita akan menghadapi risiko kehilangan seluruh generasi kanak-kanak," katanya.

Pengarah Komunikasi agensi bantuan itu menggesa gencatan senjata demi kanak-kanak di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 10:37 AM