ISMAIL (tengah) menaruh keyakinan amat tinggi bahawa sasaran pingat negara boleh menandingi kutipan tujuh emas yang diraih pada 2018. FOTO ASWADI ALIAS
ISMAIL (tengah) menaruh keyakinan amat tinggi bahawa sasaran pingat negara boleh menandingi kutipan tujuh emas yang diraih pada 2018. FOTO ASWADI ALIAS
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Temasya Sukan Komanwel 2022 akan membuka tirainya secara rasmi hari ini tepat jam 7 malam waktu tempatan atau awal pagi esok waktu Malaysia (Jumaat) dengan majlis pembukaan diadakan di Stadium Alexander di sini.

Sebanyak 72 negara yang membabitkan 5,054 atlet akan mengambil bahagian dalam 20 acara sukan atau 280 acara yang dipertandingkan.

Sebanyak 1,875 pingat jadi rebutan termasuk lapan menerusi sukan para. Moto temasya kali ini adalah 'Games for everyone atau sukan untuk semua' Ini adalah kali ketiga England menjadi tuan rumah temasya sukan kedua terbesar dunia itu selepas London kali pertama pada 1934 dan diikuti Manchester pada 2002.

Malaysia turut tidak ketinggalan dengan menghantar 105 atlet untuk bertanding dalam 14 sukan termasuk empat membabitkan sukan para selain 44 pegawai dan jurulatih.

Sukan berkenaan adalah akuatik terjun dan renang, angkat berat, badminton, basikal trek, gimnastik artistik dan berirama, judo, boling padang, olahraga, pingpong dan pingpong para, ragbi, skuasy, tinju, triatlon, para bola keranjang kerusi roda dan powerlifting.

Kontinjen negara diketuai Datuk Shahrul Zaman Yahya manakala Gerard Monteiro Clair sebagai timbalannya manakala jaguh powerlifting dunia, Bonnie Bunyau Gustin dan pemain skuasy, Aifa Azman diberi mandat sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Bagi temasya kali ini, kontinjen negara diletakkan sasaran untuk membawa pulang enam emas, kurang satu daripada sasaran asal dan pencapaian tujuh emas yang diraih pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.

Pencapaian negara pada temasya di Birmingham dianggap penting kepada sukan tanah air selepas kurang menyerlah pada Sukan Sea Hanoi lalu.

Pada temasya dwitahunan serantau itu, Malaysia hanya mampu mengumpul 39 pingat emas untuk menduduki tempat keenam.

Pencapaian itu adalah yang terendah sejak 1983. Adakah Malaysia mampu memberi sinar harapan pada temasya di Birmingham ini?.

Ketika berucap pada majlis penyerahan Jalur Gemilang, baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencabar kontinjen negara menandingi kutipan tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa pada edisi empat tahun lalu itu.

Beliau yakin ia mampu direalisasikan dengan membawa semangat Keluarga Malaysia dan skuad bola sepak Harimau Malaya.

"Saya dan seluruh Keluarga Malaysia berharap, kita dapat mencapai sasaran bilangan pingat sudah disasarkan oleh MOM (Majlis Olimpik Malaysia) di temasya sukan ini.

"Saya menaruh keyakinan amat tinggi bahawa sasaran pingat negara boleh menandingi kutipan tujuh emas yang dimenangi jaguh kita ketika Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

"Justeru, atlet negara ke Birmingham harus membuktikan keupayaan dan berjuang habis-habisan bagi menterjemahkan kejayaan yang bakal menjadi kebanggaan diri dan Keluarga Malaysia.

"Kepada atlet Sukan Komanwel negara, bawalah harapan Keluarga Malaysia di Birmingham dan pulanglah bersama-sama pingat kemenangan untuk dihadiahkan kepada negara," katanya.

Sekurang-kurangnya sembilan atlet berada dalam radar sebagai prospek bagi mencapai sasaran enam pingat emas yang ditetapkan kontinjen negara kali ini. Mereka ialah gandingan penerjun, Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri; beregu badminton lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; pasangan boling padang, Siti Zalina Ahmad-Emma Firyana Saroji; atlet angkat berat, Muhamad Aznil Bidin; atlet gimrama, Koi Sie Yan dan Bonnie.

Mengulas mengenainya, Shahrul melahirkan keyakinan kontinjen negara mampu mencapai sasaran yang ditetapkan itu walaupun sedar akan cabaran besar bakal dihadapi.

"Insyallah, sasaran enam pingat emas boleh dicapai sekiranya atlet kita dapat memberikan keputusan yang sama atau lebih daripada personal best (pencapaian peribadi terbaik) mereka.

"Sebagai ketua kontinjen, saya juga berharap ada kejutan daripada atlet-lain lain untuk pungutan pingat," katanya sambil menyatakan semua atlet negara sudah bersiap sedia memikul cabaran pada temasya Sukan Komanwel kali ini.

Dalam pada itu, ketiadaan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang kini dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung April lalu, nampaknya bakal menjejaskan buruan pingat emas skuad berbasikal.

Namun, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Mohd Zonis serta atlet harapan, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri boleh mencipta kejutan.

Bagi sukan lain yang bukan menjadi sandaran pingat seperti renang, olahraga, tinju, gimnastik artistik, judo, skuasy, pingpong, ragbi tujuh sebelah, bola keranjang para 3x3 dan triatlon, kita harapkan akan kejutan dari mereka.

Pencapaian terbaik kontinjen negara pada temasya Sukan Komanwel adalah pada 2010 ketika New Delhi menjadi tuan rumah dengan meraih 12 emas.

Adakah enam emas yang menjadi sasaran pada kali ini mampu dicapai? Dengan semangat 'Malaysia Boleh' dan 'Demi Malaysia' kita yakin ia mampu dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 6:28 PM