NORZA pada sidang media di Wisma MOM, hari ini. FOTO FB MOM
NORZA pada sidang media di Wisma MOM, hari ini. FOTO FB MOM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran tujuh pingat emas di di temasya Sukan Komanwel Birmingham pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini, iaitu sama dengan pencapaian edisi lalu di Gold Coast.

Walaupun kontinjen negara pada temasya kali ini semakin mengecil, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria optimis sasaran itu mampu dicapai berdasarkan prestasi terkini atlet di temasya Sukan Sea Hanoi di Vietnam, bulan lalu.

Beliau berkata, kontinjen Malaysia mempertaruhkan 102 atlet dengan sasaran emas daripada sukan badminton, gimrama, boling padang, angkat berat, skuasy dan powerlifting para.

"Pada edisi kali ini, kekurangan atlet disebabkan faktor tiada wakil untuk sukan menembak manakala Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pula turut tidak menghantar pemain, sekali gus menyebabkan kekurangan 54 atlet.

"Persekutuan Sukan Komanwel memperuntukkan 94 slot kuota kepada Malaysia dan jawatankuasa pemilihan menyenaraikan 47 atlet kategori A manakala 11 lagi adalah kategori B.

"Selebihnya 37 atlet sudah layak secara merit membabitkan sukan ragbi 7 sebelah, pingpong, angkat berat dan powerlifting para.

"Terdapat 11 lagi atlet dalam senarai menunggu dan mereka yang akan dipilih nanti adalah atlet muda serta cemerlang pada temasya Sukan Sea Hanoi," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Temasya Sukan Komanwel di Wisma MOM, hari ini.

Mengikut rekod, penyertaan 102 atlet Malaysia pada Sukan Komanwel kali ini paling sedikit untuk tempoh 10 tahun lalu dengan edisi lalu mencatatkan 178 atlet manakala 2014 (179 atlet), 2010 (198 atlet) dan 2006 (162 atlet).

Pada edisi 2018 di Gold Coast, kontinjen Malaysia membawa pulang tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa.

Norza berkata, jawatankuasa itu memilih pemain skuasy wanita nombor satu negara S Sivasangari dan juara powerlifting Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Bonnie Bunyau Gustin selaku pembawa Jalur Gemilang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 5:06 PM