Daripada Amirullah Andi Nur

Birmingham: Sukan Komanwel Birmingham 2022 melabuhkan tirainya secara rasmi, semalam dengan kontinjen negara berjaya membawa pulang tujuh pingat emas, melebihi satu daripada sasaran.

Kontinjen diketuai Datuk Shahrul Zaman Yahya turut mengumpul lapan perak dan lapan gangsa, sekali gus Malaysia menduduki tangga ke-10 daripada 72 negara bertanding.

Jumlah kutipan emas pada temasya bermula 28 Julai hingga 8 Ogos itu, menyamai pencapaian Sukan Komanwel terakhir di Gold Coast, Australia, empat tahun lalu yang turut memperoleh lima perak dan 12 gangsa.

Malaysia pada mulanya meletakkan sasaran tujuh emas, namun diubah kepada enam susulan penarikan diri jaguh badminton, Lee Zii Jia dan pemain skuasy, S Sivasangari akibat terbabit kemalangan.

Antara sukan yang menjadi sandaran meraih emas pada temasya Birmingham 2022 adalah badminton, angkat berat, terjun, boling padang, gimrama dan powerlifting.

Bagaimanapun hanya empat daripada enam acara ini berjaya menepati sasaran iaitu badminton, angkat berat, gimrama dan powerlifting.

Badminton, angkat berat dan gimrama masing-masing menyumbang dua emas manakala satu lagi menerusi powerlifiting.

Emas badminton melalui acara berpasukan campuran dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah manakala angkat berat menerusi Mohamad Aniq Kasdan (55kg) dan Muhamad Aznil Bidin (61kg).

Dua emas gimrama pula melalui atlet muda, Ng Joe Ee bagi disiplin bola dan riben serta satu lagi menerusi juara dunia dan paralimpik, Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting).

Secara umumnya antara ketiga-tiga sukan ini, badminton paling menyerlah apabila turut meraih satu perak menerusi perseorangan lelaki, Ng Tze Yong dan gangsa oleh beregu lelaki Aaron Chia-Soh Woi Yik serta beregu campuran, Tan Kian Meng/Lei Pei Jing.

Kehadiran skuad gimrama pula dengan harapan emas menerusi Koi Sie Yan, namun ia tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, Joe Ee, 17, mencipta kejutan besar di Arena Birmingham apabila meraih emas berganda. Satu gangsa turut diraih menerusi Izzah Amzan menerusi disiplin belantan.

Ketiadaan secara fizikal dua jurulatih mereka dari Rusia akibat sekatan visa jelas tidak menjejaskan mereka meskipun gagal pertahan emas acara berpasukan selain tiada pingat dari acara all-around.

Angkat berat pula sememangnya tidak pernah menghampakan. Selepas cemerlang di Gold Coast 2018, mereka mengulanginya lagi Birmingham 2022 dengan dua emas.

Menariknya, Aznil turut berjaya mencipta tiga rekod angkatan sekali gus manakala Aniq mencipta satu rekod temasya. Skuad ini turut meraih satu perak menerusi Muhammad Erry Hidayat (73kg).

Bonnie pula terus membuktikan keunggulannya bagi acara lightweight powerlifting antarabangsa. Selepas menggegarkan Olimpik Tokyo 2020, dia mencipta nama di Birmingham 2022 dengan turut mencipta rekod temasya.

Dalam pada itu, selain Joe Ee, satu kejutan terbesar turut dicipta kontinjen negara melalui sukan ping pong yang meraih dua perak.

Tanpa diberi sebarang harapan langsung, mereka pulang dengan pingat naib juara berpasukan wanita dan beregu campuran (Choong Javen-Karen Lyn Dick).

Turut mencuri perhatian adalah kejayaan Tze Yong bagi acara badminton perseorangan lelaki. Hadir sebagai sandaran utama menggantikan Lee ZiiJia, dia sebenarnya tidak dijangka untuk menang perak.

Sukan judo turut membuka mata banyak pihak apabila berjaya meraih pingat ketika mereka hanya disandarkan mendapat pendedahan dan meningkatkan pencapaian peribadi. Amir Daniel Abdul Majeed menjulang sukan judo tanah air dengan kemenangan gangsa menerusi acara 73kg.

Dalam pada itu, enam acara sukan pulang tanpa sebarang pingat, namun mendapat pendedahan dan pengalaman baik. Kebanyakannya memang tidak diletakkan sebarang harapan pingat dan hanya diharapkan mencipta rekod peribadi terbaik selain layak ke final.

Sukan berkenaan adalah renang, gimnastik artitsik, olahraga, ragbi tujuh sebelah, tinju dan triatlon.

Olahraga antara paling menyerlah apabila beberapa atletnya berjaya bersaing di final meskipun tidak mampu memperbaiki rekod seperti baling tukul besi, Jackie Wong dan Grace Wong, Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi) dan Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera).

Kontinjen negara turut menghantar atlet para iaitu bola keranjang berkerusi roda, olahraga dan ping pong. Mereka tidak diletakkan mendapat pingat namun diharap memperoleh pengalaman dan pendedahan di pentas antarabangsa.

Jumpa lagi di temasya Sukan Komanwel seterusnya di Victoria, Australia empat tahun lagi dengan kontinjen negara sudah pasti mahu mencatat pencapaian lebih baik berbanding Birmingham 2022.

Info

Pencapaian kontinjen negara

Emas - 7

1. Mohamad Aniq Kasdan, angkat berat 55kg

2.Muhamad Aznil Bidin, angkat berat (61kg).

3. Pasukan badminton campuran

4. Bonnie Bunyau Gustin, powerlifting

5. Ng Joe Ee, gimrama (bola)

6. Ng Joe Ee, gimrama (riben)

7. Pearly Tan-M Thinaah - badminton beregu wanita

Perak - 8

1. Muhammad Erry Hidayat angkat berat (73kg)

2. Pasukan ping pong wanita

3. Muhammad Syafiq Puteh/Gabriel Gilbert Daim - terjun 3m papan anjal lelaki seirama

4. Nur Ain Nabilah Tarmizi, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Azlina Arshad - boling padang trio wanita

5. Ng Yan Yee/Nur Dhabitah Sabri -terjun 3m papan anjal seirama

6. Nur Dhabitah Sabri - terjun 3m papan anjal wanita individu

7. Choong Javen/Karen Lyn Dick- ping pong beregu campuran

8. Ng Tze Yong - badminton perseorangan lelaki

Gangsa - 8

1. Muhammad Shah Firdaus Sahrom - basikal trek kierin lelaki

2. Siti Zalina Ahmad - boling padang singles

3. Amir Daniel Abdul Majeed - judo 73kg

4. Izzah Amzan - gimrama displin belantan

5. Muhammad Syafiq Puteh/Nur Dhabitah Sabri - terjun 3m papan anjal seirama campuran

6. Aaron Chia/Soh Woii Yik - badminton beregu lelaki

7. Tan Kian Meng/Lei Pei Jing - badminton beregu campuran

8. Aifa Azman/Rachel Arnold - skuasy beregu wanita

GIMNAS negara, Ng Joe Ee meraih dua pingat emas di Birmingham 2022. FOTO Bernama
GIMNAS negara, Ng Joe Ee meraih dua pingat emas di Birmingham 2022. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 6:10 PM