KETUA kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya (tengah) bersama  Mohamad Aniq Kasdan (kiri) dan Muhamad Aznil Bidin di NEC, Birmingham. FOTO Amirullah Andi Nur
KETUA kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya (tengah) bersama Mohamad Aniq Kasdan (kiri) dan Muhamad Aznil Bidin di NEC, Birmingham. FOTO Amirullah Andi Nur
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Mungkinkah kontinjen Malaysia mampu membawa pulang lebih daripada enam pingat yang disasarkan pada temasya Sukan Komanwel 2022 di sini?

Ini susulan kejayaan sensasi dilakukan atlet angkat berat semalam yang memenangi dua emas sekali gus, menerusi Mohamad Aniq Kasdan bagi kategori 55 kilogram (kg) dan Muhamad Aznil Bidin (61kg).

Aniq, 20, sebelum ini disasarkan menang pingat namun kejayaan memenangi emas dianggap satu kejutan manakala Aznil pula menjadi pilihan utama berikutan kedudukannya sebagai juara bertahan.

Ketika diajukan soalan ini kepada ketua kontinjen negara, Datuk Shahrul Zaman Yahya, beliau tidak menolak kemungkinan itu boleh berlaku.

"Ya, mungkin. Kita mungkin boleh mendapat lebih daripada enam pingat emas. Malah mungkin boleh menyamai jumlah diperoleh di Gold Coast pada 2018 jika melihat pencapaian atlet angkat berat ini.

"Macam Aniq, kita jangkakan dia mampu menang pingat tapi tak sangka pula ia emas. Ia satu bonus kepada kita. Kita harap ia menjadi motivasi kepada atlet lain," katanya ketika ditemui di National Exhibiton Center (NEC) di sini.

Kontinjen negara sebelum ini meletakkan sasaran enam emas pada temasya Sukan Komanwel 2022.

Sebelum itu, sasaran adalah tujuh, namun dikurangkan susulan penarikan diri pemain badminton, Lee Zii Jia manakala atlet skuasy, S Sivasangari pula tidak dapat beraksi kerana terbabit dalam kemalangan.

Berdasarkan prestasi semasa atlet negara, enam sukan diletakkan sebagai prospek utama untuk mencapai sasaran berkenaan iaitu daripada sukan akuatik terjun, angkat berat, badminton, gimrama, boling padang dan powerlifting.

Antaranya membabitkan atlet Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri; beregu badminton lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; pasangan boling padang, Siti Zalina Ahmad-Emma Firyana Saroji; atlet gimrama, Koi Sie Yan dan jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin selain Aznil.

Shahrul berkata walaupun dua emas sudah diraih semalam, pihaknya tetap berpegang dengan sasaran awal namun tetap berharap akan berlaku kejutan seperti dilakukan Aniq.

"Sasaran kita tak berubah tetap enam. Dan sudah pasti atlet-atlet kita di sini akan membuat yang terbaik untuk mendapatkan pingat termasuk emas. Dan dalam sama, kita harap akan ada kejutan lagi dari mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 4:03 PM