AKSI Erry yang meraih pingat perak. FOTO Aswadi Alias
AKSI Erry yang meraih pingat perak. FOTO Aswadi Alias
Daripada Amirullah Andi Nur

Birmingham: Ketua kontinjen negara, Datuk Shahrul Zaman Yahya melahirkan rasa gembira dengan kejayaan atlet angkat berat, Muhammad Erry Hidayat meraih pingat perak pada temasya Sukan Komanwel 2022 di sini.

Katanya, pihaknya sudah menjangkakan anak bekas jaguh angkat berat negara, Hidayat Hamidon itu mampu meraih pingat pada temasya di sini, berdasarkannya pencapaian dan persiapannya.

"Kita gembira dan bersyukur atas kejayaan Erry itu dan mengucapkan tahniah kerana berjaya menyumbang satu pingat buat negara. Nak kata ia satu kejutan ia bukan kejutan kerana kita memang jangka dia mampu menang pingat.

"Dan dia sudah buktikan hari ini apabila memenangi perak meskipun kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya," katanya ketika ditemui di National Exhibition Center (NEC) Birmingham di sini.

Erry memastikan perak dalam genggamanya dalam kategori 73 kilogram (kg) apabila merekodkan angkatan bebanan keseluruhan 303kg selepas mencatatkan138kg bagi snatch dan 165kg bagi clean & jerk.

Pingat emas menjadi milik wakil India, Achinta Sheuli yang merekodkan angkatan bebanan keseluruhan 313kg menerusi catatan 143kg bagi disiplin snatch manakala bagi 170kg (clean & jerk)

Kejayaan Erry memenangi perak menambah kecemerlangan atlet sukan angkat berat pada Sukan Komanwel 2022 selepas sehari sebelum itu, kontinjen negara meraih dua emas masing-masing menerusi Mohamad Aniq Kasdan bagi kategori 55kg dan Muhamad Aznil Bidin (61kg).

Mengulas lanjut, Shahrul berharap kejayaan Erry selain Aniq dan Aznil akan membakar semangat atlet lain negara yang masih bertanding pada temasya Sukan Komanwel 2022 di sini.

Shahrul turut mengucapkan tahniah kepada atlet berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom yang meraih gangsa bagi acara keirin di London, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 4:43 PM