AKKARAWAT Tigger Phonlasen maut selepas disuntik dadah jenis ketamin oleh rakan-rakannya ketika pesta ketum di Bangkok, Thailand. FOTO Agensi
AKKARAWAT Tigger Phonlasen maut selepas disuntik dadah jenis ketamin oleh rakan-rakannya ketika pesta ketum di Bangkok, Thailand. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun maut selepas disuntik dadah jenis ketamin oleh rakannya ketika menghadiri pesta ketum, baru-baru ini.

The Thaiger melaporkan, remaja itu, Akkarawat Tigger Phonlasen, ditemui terbaring tidak bermaya di atas sofa di rumahnya di Bangkok selepas pulang dari tempat pesta itu.

Keluarga mangsa pada mulanya mengesyaki rakan-rakannya di pesta itu membunuh mangsa dengan memberikan minuman ketum beracun.

Bagaimanapun, kemudian rakan-rakan mangsa kemudian mengaku memberi mangsa suntikan ketamin, yang menyebabkan kematiannya.

Ketika ditemui, Tigger berada dalam keadaan sangat lemah dan mulutnya berbuih.

Keluarganya segera melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan menghubungi pasukan perubatan tetapi Tigger tidak dapat diselamatkan.

Ibu saudara Tigger, yang dikenali Palita memberitahu, pada hari kejadian, remaja itu memaklumkan menghadiri majlis barbeku di sebuah restoran bersama rakan-rakannya.

Palita berkata, Tigger pulang ke rumah kira-kira 9 malam dan berbaring di atas sofa serta tertidur.

"Saya mendengar Tigger berdengkur lebih kuat daripada biasa, jadi saya pergi memeriksanya.

"Saya fikir Tigger terlalu keletihan dan mengantuk, lalu saya menyelimutkannya sebelum menyambung tidur.

"Sebaik bangun dari tidur, saya dapati keadaan mulut Tigger berbuih manakala badannya langsung tidak bermaya," katanya.

Palita berkata, melihat mulut Tigger yang berbuih, mereka sekeluarga mengesyaki remaja itu memakan sesuatu yang beracun menyebabkan kematiannya.

Mereka memeriksa telefon bimbitnya untuk melihat perbualan dengan rakan-rakannya lalu sebelum mendapati Tigger menghadiri parti ketum, bukan barbeku.

Dalam perbualan dengan rakan lelaki yang lebih tua, Tigger meminta rakan itu membawakan air ketum kepadanya.

Keluarga mengesyaki rakannya dan minuman ketum berkenaan mungkin penyebab dalam kematian Tigger.

Selain itu, rakannya turut menghantar gambar pistol kepada Tigger.

Pistol itu diletakkan di atas meja, bersama picagari yang kononnya untuk penggunaan dadah, membuatkan keluarga itu mengesyaki ada konflik antara Tigger dan rakan-rakannya.

Keluarga itu memutuskan untuk mendapatkan bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Saimai Survive untuk tindakan susulan.

Keluarga itu mahu polis menjalankan bedah siasat ke atas mayat Tigger untuk melihat sama ada terdapat bahan toksik dalam sistemnya.

Keluarga itu kemudian menghubungi rakan-rakan Tigger untuk bertanya mengenai keadaan di pesta ketum itu.

Rakan-rakan Tigger pada mulanya memaklumkan hanya memberi Tigger minuman ketum, namun akhirnya mengaku menyuntik remaja itu dengan dadah ketamin.

Keluarga Tigger sudah memfailkan aduan terhadap rakan-rakannya, menuduh mereka membunuh dengan sengaja.

Polis akan memanggil semua rakan Tigger untuk disoal siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 11:12 AM