Nadir Al-Nuri.
Nadir Al-Nuri.

Kuala Lumpur: Sesebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu membuktikan bahawa sebarang dana awam yang diamanahkan disampaikan pada golongan sasar.

Ini termasuk amalan pengurusan profesional seperti mengambil contoh standard amalan oleh pertubuhan bebas di luar negara yang mementingkan proses audit dalam pertubuhan.

Aktivis kemanusiaan, Nadir al-Nuri Kamaruzzaman berkata, pertubuhan yang menguruskan dana awam perlu cermat dan Amanah dengan tanggungjawab serta kepercayaan yang diberikan.

Beliau yang juga pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) turut mengakui pengurusan profesional itu perlu untuk kepercayaan umum.

"Alhamdulillah, tahun 2021 adalah rahmat untuk NGO yang betul-betul buat kerja kerana ia mencabar kita untuk menjadi lebih baik.

"Tahun itu juga menjadi bukti anak muda untuk membina kerjaya dengan NGO yang mempunyai kaedah pengurusan dana yang sistematik iaitu mempunyai audit dan CGM turut berkembang dengan baik.

"Hari ini kita mempunyai 28 orang bertugas di Malaysia dan 25 orang di Gaza, jadi kita juga sedang dalam usaha menambah baik pengurusan dana sedia ada," katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Nadir berkata, CGM sudah pun mendaftar dengan standard ISO dan kini sedang dalam usaha mengikuti standard prosedur pengurusan dana antarabangsa yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kita juga sudah mendaftarkan CGM ini di bawah Consultative Ecosoc di bawah PBB dan kita mengikuti standard antarabangsa.

"Kalau kita letakkan standard tempatan (Malaysia) kita dapati masih terlalu rendah dengan kawalan perundangan yang saya kira lemah untuk mengawasi NGO ini beroperasi.

"Saya terpaksa mengambil standard antarabangsa yang lebih efisien, sekali gus mewujudkan kebolehpercayaan orang awam terhadap CGM untuk menguruskan dana mereka," katanya.

Sementara itu, Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya sentiasa peka dengan keadaan itu dan antara usaha yang dilaksanakan adalah menerbitkan buku laporan aktiviti setiap tahun sekali gus mengamalkan prinsip pengurusan yang telus.

Beliau berkata, setiap NGO perlu menghantar semakan perbelanjaan tahunan yang disahkan oleh mana-mana pertubuhan juruaudit bertauliah.

Katanya, elemen ketelusan sangat penting berkaitan kegiatan serta pengurusan kewangan MCM.

Pada masa sama, beliau mengakui kewujudan beberapa NGO yang melaksanakan kutipan derma daripada orang awam, tetapi tiada aktiviti dilakukan.

Kegiatan itu menimbulkan 1,001 persoalan berhubung ke manakah wang kutipan berkenaan disalurkan atau ia digunakan untuk tujuan peribadi.

"Setiap NGO perlu mengemukakan laporan kewangan hasil daripada aktiviti tahunan dan ia lebih baik dilaksanakan dengan proses audit badan bertauliah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 11:01 AM