BERUANG matahari betina yang berjaya ditangkap di Kampung Sungai Satan, semalam. FOTO Ihsan Perhilitan
BERUANG matahari betina yang berjaya ditangkap di Kampung Sungai Satan, semalam. FOTO Ihsan Perhilitan
Hazira Ahmad Zaidi


Jeli: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor beruang matahari betina di Kampung Sungai Satan, semalam.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, pada Selasa minggu lalu, Pejabat Perhilitan Daerah Jeli menerima aduan mengenai seekor beruang matahari yang berkeliaran di sekitar kebun kampung berkenaan.

Katanya, pihaknya kemudiannya menjalankan siasatan di lokasi aduan dan memasang satu unit perangkap beruang di lokasi itu.

"Selepas beruang ini ditangkap, ia sedikit sebanyak melegakan penduduk kampung selain mengelakkan kerugian yang berterusan akibat kemusnahan tanaman dan harta benda

akibat konflik berkenaan.

"Operasi pemindahan dan pelepasan semula beruang ini ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat membabitkan kakitangan Jabatan

Perhilitan Daerah Jeli," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata bagi mengurangkan kes konflik membabitkan beruang, penduduk perlu sentiasa berteman semasa ke kebun, tidak memasuki kawasan kebun pada waktu malam, membersihkan kebun serta memasang lampu di sekeliling rumah pada waktu malam.

"Pada masa sama, pihak kami juga ingin memaklumkan bahawa tangkapan dan pemindahan beruang yang mengganggu bukanlah penyelesaian jangka panjang berikutan kawasan ini adalah berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Sator yang menjadi habitat asal hidupan liar berkenaan.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web

www.wildlife.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 10:58 AM