GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Penipuan skim piramid ala 'MLM', skim ponzi dan kini sanggup 'memperkudakan' agama semata-mata mahu memanipulasi kutipan dana awam untuk kegunaan peribadi.

Tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab dalam menjual agama demi mengaut keuntungan dengan cara mudah melalui eksploitasi pengumpulan kutipan orang awam.

Ia secara tidak langsung turut memberi tempias kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang jujur dalam urusan kutipan dana dalam melaksanakan aktiviti kebajikan mereka.

Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, modus operandi penipuan kutipan dana awam ini sudah berubah jika dibandingkan dengan sedekad lalu.

"Dulu, mungkin kita sering mendengar slogan seperti 'mahu kaya seperti saya' yang mempromosikan skim pemasaran pelbagai peringkat (MLM) atau skim ponzi.

"Kini, kita tidak boleh nafikan bahawa wujud pihak yang memperkudakan atas nama projek 'demi agama' dalam mengumpul dana awam namun pada masa sama, mengaut keuntungan untuk diri sendiri.

"Golongan ini bijak menjual cerita air mata pihak tertentu, memanipulasi sifat empati rakyat negara ini dan beberapa kaedah lain untuk meningkatkan kutipan dana," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Ahmad Noordin berkata, kewujudan platform media sosial juga banyak mendorong golongan ini untuk beroperasi dalam mengutip dana.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mereka yang ingin melakukan penipuan dan jenayah akan menggunakan segala platform yang ada untuk meraih simpati sehingga orang ramai mudah terpedaya.

Menurutnya, memang modus operandi mereka akan menggunakan pelbagai cara termasuk berkaitan keagamaan bagi meraih simpati seterusnya memperdaya penderma.

"Ia memang sentiasa digunakan individu ini termasuk dalam soal derma korban, derma pusat tahfiz untuk anak yatim yang kita tidak tahu ke mana duit itu pergi.

"Mereka menggunakan sifat dermawan dan simpati masyarakat kita untuk melakukan penipuan seperti ini dan banyak kes berlaku," katanya.

Ramli berkata, kutipan derma ini, tidak tahu bagaimana saluran wang itu dan menjadi satu kesalahan jika ia disalah gunakan.

"Mereka menggunakan alasan menderma itu untuk membuat penipuan seperti yang berlaku dalam kes lelaki membuat kutipan yuran guaman yang ditahan baru-baru ini, kes pempengaruh membuat kutipan derma, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam isu sama.

"Perlu ada rasa cuak jika ingin menderma dan pilih saluran yang betul di mana pihak membuat kutipan derma itu boleh diaudit setiap tahun dan elok melalui yayasan daripada diberikan kepada individu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 11:01 AM