PENERJUN negara, Datuk Pandelela Rinong (kiri) dan Nur Dhabitah Sabri ketika beraksi dalam acara 10m seirama wanita akhir di Birmingham 2022. FOTO ASWADI ALIAS
PENERJUN negara, Datuk Pandelela Rinong (kiri) dan Nur Dhabitah Sabri ketika beraksi dalam acara 10m seirama wanita akhir di Birmingham 2022. FOTO ASWADI ALIAS
Daripada Amirullah Andi Nur

Birmingham: Sukan boling padang dan terjun perlu memberi peluang kepada atlet muda mewakili negara pada masa depan susulan kegagalan di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, persatuan yang menaungi mereka perlu mencari muka baharu sebagai persediaan termasuk ke Sukan Komanwel di Victoria, Australia, empat tahun lagi.

"Kita akan bincang dengan persatuan sukan ini supaya atlet muda diberi peluang. Mereka patut contohi sukan badminton yang sudah melahirkan ramai pemain muda dan berjaya memenangi pingat.

"Ini perlu diberi perhatian. Seperti sukan boling padang, kita sasarkan emas dari mereka, tetapi gagal. Jadi kita rasa program latihan persatuan perlu dirombak dengan memberi peluang kepada muka baharu," katanya pada sidang media pencapaian kontinjen negara pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022, hari ini.

Hadir sama, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahaya dan timbalannya, Gerard Monteiro Clair serta Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Sebelum ini, boling padang dan terjun menjadi sandaran untuk masing-masing meraih satu pingat emas, namun atlet mereka gagal berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Jefri berkata, dalam sukan terjun negara seperti Australia dan England sudah lama menggunakan khidmat atlet muda bagi menyertai temasya seperti Birmingham 2022.

Katanya, ini adalah kali pertama atlet terjun, Datuk Pandele Rinong tidak memenangi sebarang pingat pada temasya sukan besar seperti kali ini.

"Sebelum datang ke sini, dia berjaya memenangi dua gangsa di Kejohanan Dunia di Hungary dan harapan sudah pasti dia akan turut menyerlah, namun gagal," katanya.

Jefri turut mengesahkan pihaknya buat masa ini akan terus menghantar atlet berlatih di luar negara bagi memberi pendedahan kepada mereka.

Katanya, perbincangan akan dilakukan dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengenai isu membabitkan atlet lompat tinggi, Nauraj Singh dan atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin yang sedang berlatih di Jerman.

Kedua-dua atlet itu gagal menyerlah di Birmingham 2022 terutama Nauraj yang tersingkir awal pada final acara lompat tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 5:24 PM