FITRI bersama isteri yang juga penghidap talesemia ketika menguruskan ibu Jamilah, yang menghidap penyakit sawan, alzheimer dan saraf. FOTO Luqman Hakim Zubir
FITRI bersama isteri yang juga penghidap talesemia ketika menguruskan ibu Jamilah, yang menghidap penyakit sawan, alzheimer dan saraf. FOTO Luqman Hakim Zubir
Asrol Awang


Kuantan: Seorang lelaki terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ibu dan isteri yang sakit sejak dua tahun lalu.

Mohd Noor Fitri Rohim, 40, yang juga bapa tiga anak itu berbuat demikian untuk memastikan ibu dan isteri berada di depan mata untuk mengelak daripada berlaku kejadian tidak diingini.

Katanya, ia selepas menerima pandangan dan persetujuan daripada tiga beradik disebabkan kesukaran jika ibu, Jamilah Aziz, 67, dijaga secara bergilir-gilir.

"Disebabkan kerja saya lebih bebas Ketika itu manakala tiga beradik lain mempunyai pekerjaan tetap, saya membuat keputusan untuk menjaga ibu yang menghidap penyakit sawan, alzheimer (nyanyuk) dan saraf.

"Pada masa sama, isteri Nurul Huda Othman, 40, adalah penghidap talasemia yang memerlukan saya menjaganya kerana dia tidak boleh melakukan kerja berat dan perlu mengambil darah setiap bulan.

"Sebelum ini saya bekerja sebagai penyelia pengawal keselamatan dengan berpendapatan RM3,000 sebulan tetapi selepas berhenti saya tiada lagi sumber pendapatan.

"Namun, Alhamdulillah, adik beradik ada menghulurkan kewangan bagi meringankan beban kami sekeluarga.

"Ibu juga menerima bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berjumlah RM400 iaitu wang tunai RM200 dan barangan bernilai RM200," katanya. Bagaimanapun, dia mengakui bantuan yang diterima tidak cukup terutama bagi kos penjagaan terutama harga susu khas yang diminum ibunya berharga RM110 satu tin.

Katanya, sekurang-kurangnya lima tin susu khas itu diperlukan ibunya bagi tempoh sebulan kerana sehari lima kali susu diberikan dengan menggunakan tiub khas.

"Tiub khas, alas badan dan lampin pakai buang juga banyak digunakan yang menyebabkan banyak kos diperlukan. Oleh itu saya mengharapkan sumbangan daripada orang ramai bagi mengurangkan beban saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 10:43 AM