ROKOK dan minuman keras yang dirampas dalam Op Kontraband dan Op Taring Landai yang dijalankan malam tadi dan Rabu lalu. FOTO ihsan Polis
ROKOK dan minuman keras yang dirampas dalam Op Kontraband dan Op Taring Landai yang dijalankan malam tadi dan Rabu lalu. FOTO ihsan Polis
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis merampas 105 kotak rokok disyaki tidak bercukai selepas menahan sebuah lori dalam Op Kontraban di Jalan Persiaran Aliff Harmoni Utama, Tampoi di sini, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira 9.30 malam, sepasukan anggota Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman menahan lori terbabit bersama dua lelaki berusia 23 dan 29 tahun untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pemeriksaan ke atas lori lima tan itu menjumpai 105 kotak rokok disyaki tidak berkastam.

"Polis kemudian merampas rokok berkenaan bersama lori lima tan terbabit dengan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM665,000," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Kumar berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah premis disyaki dijadikan pusat simpanan minuman keras di Taman Megah Ria, Masai kira-kira 7.30 malam Rabu lalu.

Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan anggota Unit Risik Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Tampoi selepas menerima maklumat.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun dipercayai penjaga premis ditahan apabila pemeriksaan menemui pelbagai minuman keras disyaki tidak berkastam.

"Kita merampas 70 karton pelbagai jenis minuman keras dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak 686.75 liter dan bernilai RM60,324," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 11:13 AM