KETUA kontinjen negara, Datuk Sharul Zaman Yahya (tiga kiri) bersama skuad gimrama negara termasuk Ng Joe Ee yang ketika itu sedang bercakap dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi telefon bimbit di Arena Birmingham, semalam. FOTO Amirullah Andi Nur
KETUA kontinjen negara, Datuk Sharul Zaman Yahya (tiga kiri) bersama skuad gimrama negara termasuk Ng Joe Ee yang ketika itu sedang bercakap dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi telefon bimbit di Arena Birmingham, semalam. FOTO Amirullah Andi Nur
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Ketua kontinjen negara, Datuk Shahrul Zaman Yahya bersyukur dan gembira dengan kejayaan mereka mencapai sasaran enam pingat emas pada temasya Sukan Komanwel di sini, semalam.

Pingat emas keenam itu berjaya diraih atlet gimrama, Ng Joe Ee menerusi disiplin riben dalam saingan yang berlangsung sengit di Arena Birmingham.

Dan kejayaan itu bertambah sensasi apabila gadis berusia 17 tahun itu melengkapkan sasaran kontinjen dengan kemenangan dua emas sekali gus. Emas kelima diraihnya menerusi disiplin bola kira-kira setengah jam sebelum itu.

"Kita bersyukur dan gembira atas pencapaian beliau itu. Joe Ee berjaya menyerlah tepat pada waktunya dengan meraih dua emas berganda. Ia tentunya satu kejutan," katanya ketika ditemui di sini, bagi mengulas kejayaan kontinjen negara berjaya mencapai sasaran enam emas ketika temasya berbaki dua hari lagi.

Kontinjen negara sebelum ini mendapat emas menerusi dua atlet angkat berat iaitu Aniq Kasdan dan Aznil Bidin masing-masing bagi kategori 55kg dan 61kg.

Dua lagi melalui skuad badminton campuran dan juara powerlifting dunia, Bonnie Bunyau Gustin.

Mengulas lanjut, Shahrul berkata walaupun sudah berjaya mencapai sasaran enam emas, pihaknya akan meneruskan perjuangan untuk menambah pingat kejuaraan itu sebanyak mungkin.

Katanya, terdapat sejumlah atlet lagi yang dilihat mampu meraih emas termasuk menerusi badminton menjelang penutupan temasya pada Isnin ini.

"Kita tidak akan terhenti di sini sebaliknya perjuangan akan diteruskan bagi menambah pingat emas lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 4:33 PM