DR Muhamad Akmal ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pendang di sini, semalam. FOTO Noorazura Abdul Rahman
DR Muhamad Akmal ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pendang di sini, semalam. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Pendang: Kelompongan Akta Anti Lompat Parti perlu diperbaiki bagi mengelak rakyat menjadi muak dan marah dengan tindakan wakil rakyat yang melompat parti.

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata tindakan melompat parti hanya boleh menyebabkan ketidakstabilan politik sekali gus memberi kesan kepada ekonomi negara.

"Saya tak pernah setuju dengan mana-mana pihak yang melompat. Sebab kita sudah ada pengalaman sebelum ini bertukar banyak kali perdana menteri akhirnya negara tidak boleh dibangunkan dengan baik, ekonomi teruk yang merana adalah rakyat di bawah.

"Kita tak mahu rakyat muak dan benci dengan wakil rakyat ini, rakyat akan marah dan hukum kita, sebenarnya rakyat mahu negara yang makmur.

"Kita bukan menyokong mana-mana parti, jangan jadikan enam orang ini kita marah akhirnya kita buat perkara yang sama, selepas ini kita bimbang akan ada pula wakil rakyat kerajaan Perpaduan buat perkara sama," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pendang di sini, semalam.

Kelmarin, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilaporkan berkata bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi enam bekas wakil rakyat Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), dan Zahari Kechik (Jeli).

Selain itu, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Semalam, Anwar dilaporkan berkata kerajaan sedia berbincang bagi meminda akta lompat parti untuk memperbaiki kelompangan yang terdapat dalam undang-undang berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, beliau menyambut baik cadangan Anwar untuk masa depan negara dan kerajaan yang stabil.

"Umno juga antara parti pelopor utama yang bawa akta anti lompat parti ini perlu diperkenalkan supaya kita nak halang mana-mana pihak ahli parlimen kita atau wakil rakyat kita melompat.

"Sebab kita tahu natijah melompat akan menyebabkan ketidakstabilan kerajaan, tunggu Pilihan Raya Umum (PRU) kalau hendak tukar kerajaan.

"Jadi saya pun nak beritahu kepada mana-mana ahli yang UMNO katalah saya ada dengar kata 10 atau 11 orang (hendak lompat), jangan buat begitu. Sebab apa? rakyat akan marah dan hukum kita," katanya.

Dr Akmal berkata beliau tidak bersetuju dengan keputusan Speaker kerana pada asasnya akta itu diwujudkan untuk tidak membenarkan wakil rakyat melompat atau menyokong parti lain.

Katanya, akta itu sepatutnya diguna pakai seluruh negara.

"Mungkin selepas ini, (lompat parti) akan berlaku di Perak di Pahang dan di Negeri Sembilan, mungkin akan berlaku juga di negeri yang lain. Jadi, akhirnya rakyat terpaksa menanggung kecuaian kita, kesalahan daripada orang politik kita.

"Saya orang yang berpendirian, kalau kita rasa salah, tetap salah, betul, tetap betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 10:13 AM