TANGKAP layar kereta dipandu lelaki berusia 46 tahun melawan arus di Jalan Ayer Hitam-Kluang, baru-baru ini. FOTO tular
TANGKAP layar kereta dipandu lelaki berusia 46 tahun melawan arus di Jalan Ayer Hitam-Kluang, baru-baru ini. FOTO tular
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Polis menahan seorang lelaki selepas memandu dalam keadaan merbahaya dengan melawan arus di Jalan Ayer Hitam-Kluang, di sini, yang tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 5 petang, 6 Julai lalu.

Beliau berkata, pada hari kejadian, polis mengesan video berdurasi 30 saat di media sosial yang menunjukkan kereta dipandu lelaki berusia 46 tahun tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.

"Bertindak melalui siasatan termasuk berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam), suspek dikesan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat pada jam 3 petang keesokan hari.

"Suspek berjaya ditahan di perkarangan BSPTD Batu Pahat dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bagi menjalani ujian saringan air kencing.

"Kereta yang dipandunya pada hari kejadian turut ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulanuar berkata, siasatan awal termasuk saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif sebarang bahan terlarang.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan orang lain.

"Kita menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa peka dengan mematuhi isyarat dan peraturan ditetapkan bagi memastikan keselamatan semua terjamin." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 10:47 AM