MUHYIDDIN (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang bekas atlet negara. FOTO Yakeb
MUHYIDDIN (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang bekas atlet negara. FOTO Yakeb
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG) menyampaikan sumbangan berjumlah RM35,000 kepada tujuh bekas atlet negara yang berjasa kepada arena sukan tanah air.

Sumbangan terbabit disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari terakhir Kejohanan Cabaran Golf TSM ke-12 di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), semalam.

Menerusi sumbangan itu, kesemua bekas atlet berkenaan masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM5,000.

Empat daripada tujuh bekas atlet yang tersenarai hadir bagi menerima sumbangan, semalam iaitu, bekas atlet olahraga para, Anis Anak Nios, 59; Chan Mai Lan, 59 (catur para), Aidil Haris, 37 (golf) dan V Subraniam, 73, (olahraga) manakala Zulkifli Yatim (olahraga) diwakili oleh isterinya.

Sumbangan kepada dua lagi bekas atlet iaitu Abdul Mutalib Mydin (berbasikal) dan Ahmad Amil Husin (boling para) diwakili oleh Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Lee Nyuk Fah.

Yakeb menerusi kenyataannya mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana sentiasa menghargai keringat atlet yang dicurahkan demi negara.

"Terima kasih diucapkan kepada Tan Sri Muhyiddin serta seluruh pasukan TSMCG yang tidak pernah melupakakan jasa bekas atlet negara.

"Empat daripada tujuh bekas negara yang terpilih hadir menerima sumbangan masing-masing sempena Kejohanan Cabaran Golf TSM ke-12," katanya.

Sementara itu, pemain berpangkalan di Amerika Syarikat, Adam Ariff Madzri merangkul gelaran pertama Kejohanan Cabaran Golf TSM menerusi kelebihan satu pukulan ke atas Marcus Lim dalam kategori lelaki bawah 21 tahun, semalam.

Selepas pusingan akhir, pemain berusia 21 tahun itu mencatatkan jumlah keseluruhan tiga pusingan dengan kelebihan satu pukulan, tiga bawah 213 pukulan.

Marcus Lim muncul naib juara dengan dua bawah 214 pukulan manakala Poon Jia Hao menduduki tangga ketiga dengan satu atas 217.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 8:45 PM