MEGAT SHAHRIMAN ZAHARUDIN
MEGAT SHAHRIMAN ZAHARUDIN
Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Hasrat ahli perniagaan, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin untuk membantu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) tampak tidak bertepuk sebelah tangan.

Selain mendapat reaksi positif pihak pengurusan YAKEB, beliau turut akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) penghujung bulan nanti.

Jelasnya, KBS sudah bersetuju mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara berkenaan pada 27 atau 28 September nanti.

“Saya akan bertemu dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong. Selain mengenai sumbangan, saya akan turut berkongsi perancangan untuk membantu YAKEB serta menaikkan ekonomi bekas atlet,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau berharap dilantik sebagai seorang daripada lembaga pengarah YAKEB bagi memudahkan proses itu.

“Bila kita membuat sumbangan, kita mahu pastikan duit sampai kepada atlet. Kita mahu duit digunakan bagi kegunaan perubatan bekas atlet. Ia antara sebab saya mahu berada dalam lembaga pengarah,” katanya.

Pada awal bulan ini, Megat Shahriman menyuarakan kesediaan termasuk mengeluarkan wang sendiri sehingga RM500,000 untuk membantu YAKEB yang berdepan konflik kewangan.

Untuk rekod, YAKEB memiliki 2,742 ahli seperti legenda hoki, Datuk Mirnawan Nawawi, Datuk Ng Joo Ngan (basikal) dan Nazmizan Mohamad (olahraga) dengan pelan perubatan sebanyak RM20,000 diterima setiap ahli bagi mendapatkan rawatan.

Justeru, YAKEB memerlukan antara RM2 juta hingga RM3 juta setahun bagi menampung segala kos terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 8:50 PM