MARCUS Lim dan Mirabel Ting bersama Muhyiddin selepas majlis penyampaian hadiah di KLGCC, Kuala Lumpur, hari ini.
MARCUS Lim dan Mirabel Ting bersama Muhyiddin selepas majlis penyampaian hadiah di KLGCC, Kuala Lumpur, hari ini.
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin (TSM) edisi ke-13 yang melabuhkan tirainya hari ini menyaksikan pemain muda dari Selangor, Marcus Lim muncul sebagai juara.

Dia menewaskan 48 lagi pesaing bagi kategori lelaki bawah 21 tahun dalam saingan yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), East Course.

Bagi kategori perempuan bawah 21 tahun pula, ia, dimenangi Mirable Ting dari Sarawak, yang mengenepikan cabaran 33 peserta lain.

Kejayaan itu membolehkan mereka masing-masing membawa pulang hadiah trofi selain biasiswa Tan Sri Muhyiddin Yassin Charity Golf (TSMCG) bernilai RM30,000.

Hadiah kemenangan itu disampaikan Pengasas Yayasan TSM Charity Golf (TSMCG), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), East Course, di sini hari ini.

Sepanjang tiga hari kejohanan, Marcus melakar tiga di bawah par dengan 210 pukulan keseluruhan manakala Mirable meninggalkan jauh pencabarnya apabila membenam 10 di bawah par dengan 203 pukulan keseluruhan.

Naib juara bagi kategori lelaki ialah Malcom Ting Siong Hung dengan 215 pukulan keseluruhan dua di atas par, manakala tempat ketiga milik Isaac Chern Yi To yang mencatat 216 pukulan tiga di atas par.

Sementara itu, Charlayne Chong Shin Ling yang gagal menyekat penguasaan Mirable dalam kategori wanita hanya mampu mengumpul 215 pukulan dua di atas par untuk muncul naib juara, diikuti Ng Jing Xuen dengan 217 empat di atas par di tangga ketiga.

Kejohanan itu berlangsung sejak Isnin lalu, selain menyaksikan sedikit kelainan apabila hadiah kategori perempuan dinaikkan setaraf dengan hadiah kategori lelaki.

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapan pada majlis penyampaian hadiah berharap kejohanan seumpama ini menjadi pemangkin buat anak muda mengilap bakat dalam sukan golf.

Beliau juga berharap kejohanan TSM menjadi medium melahirkan lebih ramai atlet muda dalam sukan golf yang boleh mewakili negara di pentas kejohanan peringkat Asean dan antarabangsa.

KEPUTUSAN:

Lelaki:

Marcus Lim -3 (69 71 70)

Malcom Ting Siong Hung +2 (70 71 74)

Isaac Chern Yi To + 4 (75 68 73)

Nateeshvar Anatha Ganesh +4 (75 71 71)

Rizq Adam Rohizam +6 (71 73 75)

Putera Haikal Hakeem Halim +8 (76 74 71)

Muhammad Adif Haikal Md. Hazan +9 (76 76 70)

Syed Nor Ismail Sha Hussein +10 (75 72 76)

Muhammad Ajmal Amin Mohd Fajri +12 (72 79 74)

Wan Hasnul Daniel Wan Omar Zahdi +13 (77 75 74)

Wanita:

Mirabel Ting -10 (67 66 70)

Charlayne Chong Shin Ling +2 (73 67 75)

Ng Jing Xuen +4 (72 70 75)

Allycia Gan +17 (81 73 76)

Vanessa Chong Yi Wen +20 (77 75 81)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 7:26 PM