ADAM Arif Madzri (kiri) dan Zulaikah Nurziana yang muncul juara kejohanan pada tahun lalu. FOTO IHSAN TSM CHARITY GOLF FOUNDATION
ADAM Arif Madzri (kiri) dan Zulaikah Nurziana yang muncul juara kejohanan pada tahun lalu. FOTO IHSAN TSM CHARITY GOLF FOUNDATION
BERNAMA

Kuala Lumpur: Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin (TSM) kembali lagi untuk edisi ke-13, kali ini menampilkan saingan sengit 48 remaja lelaki dan 33 remaja perempuan.

Kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 22 Jun ini di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), East Course, di sini akan menyaksikan sedikit kelainan apabila hadiah kategori perempuan dinaikkan setaraf dengan hadiah kategori lelaki.

Menurut kenyataan sekretariat, selain trofi, juara kedua-dua kategori berpeluang menerima RM133,800 bagi pendidikan dalam golf yang dianggap hadiah terbesar ditawarkan bagi kejohanan remaja di negara ini.

"Terdapat dua kategori untuk kejohanan ini iaitu Lelaki (Bawah 21) - kategori MGA WHS Handicap Index 8.3 dan ke bawah, dan Perempuan (Bawah 21) - kategori MGA WHS Handicap Index 10.3 dan ke bawah, dengan bentuk permainan 'Stroke Play'," menurut kenyataan itu.

Kejohanan amatur yang dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Golf Amal TSM ini bukan sahaja memberi peluang kepada pemain muda mempamerkan kemahiran mereka, tetapi boleh diklasifikasikan sebagai laluan terbaik untuk mereka mengejar impian menjadi seorang pemain golf profesional yang berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 7:59 PM