PENGERUSI Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Dr Noorul Ariffin Abdul Majeed (enam, kiri) bergambar bersama bekas Atlet Kebangsaan selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadan Al-Mubarak Yakeb, hari ini. FOTO NABIL FARHAN
PENGERUSI Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Dr Noorul Ariffin Abdul Majeed (enam, kiri) bergambar bersama bekas Atlet Kebangsaan selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadan Al-Mubarak Yakeb, hari ini. FOTO NABIL FARHAN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bersama Dewan Perniagaan Muslim Malaysia (DPMUM) menjalinkan kerjasama menyantuni bekas atlet negara sempena program Penyerahan Sumbangan Ramadan Al-Mubarak.

Seramai 50 bekas atlet dipilih untuk menerima sumbangan membabitkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,000 berserta barangan asas untuk membuat kuih muih raya.

Antara yang terpilih menerima sumbangan berkenaan adalah bekas Olimpian negara, Rosman Alwi.

Rosman ketika ditemui menzahirkan rasa syukur di atas keprihatinan Yakeb dan DPMUM menghulurkan sumbangan sempena Ramadan dan Syawal yang akan menjelang tiba.

Katanya, sumbangan berkenaan secara tidak langsung dapat meringankan beban atlet yang memerlukan bantuan sempena bulan mulia ini.

"Saya mewakili semua bekas atelt mengucapkan terima kasih kepada Yakeb dan DPMUM di atas insentif mereka menghargai dan mengingati ahli-ahli sukan.

"Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu atlet meringankan beban keperluan harian.

"Saya harap bantuan ini akan berterusan. Tak kira banyak atau sikit ia sekurang-kurangnya membantu belanja harian kami," katanya.

Sementara itu Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, beliau berterima kasih kepada DPMUM kerana meneruskan jalinan kerjasama ini sejak tahun 2022 lagi.

"Saya berasa sedikit lega apabila masih ada yang hadir menghulurkan bantuan dan bertanya khabar. Mendengar keluh kesah bekas atlet seperti mana yang dilakukan Yakeb.

"Baik bekas atlet normal mahupun para, kesemuanya dipantau dan mendapat segala yang diperlukan mengikut kesesuaian semasa," kata Noorul.

Kata Noorul sumbangan dan sokongan Yakeb tidak akan terhenti di sini yang mana akan ada lagi tiga lagi majlis akan dianjurkan untuk menyantuni bekas atlet negara termasuklah majlis bersama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Katanya, pemilihan bekas atlet yang dipilih adalah mengikut kriteria yang ditetapkan oleh penaja.

Yakeb-DPMUM pernah berkolaborasi pada 2022 dengan menghulurkan bakul rezeki berbentuk makanan asas kepada atlet kebangsaan yang mana ketika itu seramai 50 atlet dari seluruh negara dipilih menerimanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 2:12 PM