PEMBAYAR  zakat pertama, Datuk Zaiton Othman (dua kanan) menerusi kaedah online yang dikhaskan untuk komuniti sukan.
PEMBAYAR zakat pertama, Datuk Zaiton Othman (dua kanan) menerusi kaedah online yang dikhaskan untuk komuniti sukan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat (PPZ) mengadakan kunjungan bertemu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini untuk menjalin usaha sama program Jalinan Kerjasama Komuniti Sukan Khaira PPZ-Yakeb.

Program itu inisiatif terbaru dalam usaha Yakeb membantu bekas atlet negara dengan kerjasama rakan strategiknya.

PPZ sebagaimana organisasi lain yang turut prihatin terhadap nasib bekas atlet negara, tampil menyahut seruan pihak Yakeb.

"PPZ melalui beberapa produk perkhidmatannya memperuntukkan dana RM60,500 untuk diagihkan kepada bekas atlet negara yang berdaftar dengan Yakeb.

"Bantuan ini diberikan dalam pelbagai bentuk; bantuan tunai - Khaira PPZ dan Khaira Prihatian PPZ. Bantuan barangan asas – Bakul Rezeki Khaira PPZ. Bantuan-bantuan ini diagihkan kepada 161 orang yang memerlukan.

"Selain daripada menyediakan dana untuk sumbangan bantuan, pihak PPZ juga menyediakan kaedah khas untuk komuniti sukan terutamanya yang beragama Islam untuk menunaikan tanggungjawab mereka di dalam membayar zakat," kata Yakeb menerusi satu kenyataan.

Pada pertemuan itu, PPZ mengambil peluang memperkenalkan sistem pembayaran zakat secara dalam talian khas untuk komuniti sukan.

Ia sebagai galakan bagi pembayaran zakat di antara komuniti sukan agar satu persekitaran ekosistem dapat dibina di mana wang zakat yang dibayar akan disalurkan kembali kepada ahli sukan memerlukan di bawah Yakeb.

Sumbangan diberikan pihak PPZ juga memberi gambaran menyeluruh bahawa institusi zakat sentiasa proaktif dan cakna dalam membantu masyarakat daripada pelbagai kategori termasuklah warga komuniti sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 6:51 PM