HAFIZZUDIN (tengah) berkata sekarang adalah masa terbaik untuk dia membuktikan bahawa dirinya layak dipilih beraksi di Hangzhou. FOTO Konfederasi Hoki Malaysia
HAFIZZUDIN (tengah) berkata sekarang adalah masa terbaik untuk dia membuktikan bahawa dirinya layak dipilih beraksi di Hangzhou. FOTO Konfederasi Hoki Malaysia
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Rasa kecewa tidak terpilih membarisi skuad negara di pentas Sukan Asia 2018 dan kemudian menyaksikan Malaysian Tigers mengalami kekalahan memeritkan di pentas final, menguatkan lagi azam penjaga gol skuad hoki negara, Hafizuddin Othman untuk memburu tempat ke Sukan Asia Hangzhou yang bermula 23 September ini.

Dia hanya pasrah melihat rakan sepasukannya yang di ambang kemenangan ketika bertemu Jepun pada pentas final lima tahun lalu di Jakarta, namun akhirnya dikecewakan tuan rumah sekali gus terlepas peluang keemasan meraih tiket automatik ke Olimpik Tokyo.

Hafizuddin berasakan dia harus merebut tempat ke Hangzhou untuk memastikan skuad negara tidak kecewa lagi kali ini sekali gus meraih tiket automatik ke Olimpik Paris 2024.

"Sasaran utama saya sememangnya mahu beraksi di Sukan Asia sebab sepanjang karier saya sebagai pemain hoki, belum pernah lagi saya beraksi di temasya sukan itu. Selain itu, misi saya sudah tentu nak bawa pasukan layak ke Olimpik.

"Masa itu (2018) memang kecewa kerana nama saya tak tersenarai untuk ke Sukan Asia. Lepas itu bila tengok perlawanan final, rasa macam yakin boleh menang tetapi akhirnya tidak ada rezeki untuk Malaysia," katanya.

Mula mewakili skuad negara pada 2014, Hafizuddin berkata, sekarang adalah masa terbaik untuk dia membuktikan bahawa dirinya layak dipilih beraksi di Hangzhou selepas mempamerkan aksi cemerlang pada Trofi Juara-Juara Asia di Chennai, India, yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara.

"Masih ada lagi tempoh beberapa minggu untuk proses pemilihan. Semua pemain termasuk saya pastinya akan beri yang terbaik semasa sesi latihan untuk meyakinkan jurulatih agar terpilih ke China.

"Jika saya diberi peluang untuk bermain, saya akan berikan komitmen 100 peratus dan buktikan yang saya mampu galas tanggungjawab diberikan," katanya.

Untuk aksi di Hanghzou, Malaysia diundi bersama Korea Selatan, China, Oman, Thailand dan Indonesia dalam Kumpulan B manakala India berada dalam Kumpulan A bersama Jepun, Pakistan, Bangladesh, Singapura dan Uzbekistan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 7:07 PM