AKSI Razie ketika menentang Pakistan di Sukan Asia Hangzhou. FOTO Hokita
AKSI Razie ketika menentang Pakistan di Sukan Asia Hangzhou. FOTO Hokita
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain berpengalaman skuad hoki lelaki negara, Muhammad Razie Abdul Rahim kekal tenang dan yakin Malaysian Tigers akan tetap layak beraksi di Sukan Olimpik Paris meskipun mengalami kegagalan di Sukan Asia Hangzhou.

Pakar pukulan sudut penalti negara berusia 36 tahun itu berkata, kegagalan memenangi pingat emas di Hangzhou sekali gus meraih tiket automatik ke Olimpik Paris sama sekali tidak memadamkan semangat skuad negara.

"Saya masih yakin kita akan layak ke Paris. Jadi apa yang perlu kami buat selepas ini adalah mengkaji semula segala kesilapan terutama kesilapan individu semasa di dalam padang.

"Kami akan bekerja lebih keras lagi untuk mencapai matlamat ini. Apa yang boleh saya katakan kesemua pemain sangat yakin yang kami akan layak ke Paris," katanya.

Razie yang sudah melalui banyak pengalaman pahit manis bersama Malaysian Tigers namun belum pernah beraksi di Sukan Olimpik berkata, skuad dibarisinya kali ini adalah antara yang terbaik.

"Kadangkala kesilapan tidak sepatutnya berlaku menyebabkan kami tidak mencapai apa kami mahukan. Tetapi pasukan ini sebenarnya adalah pasukan terbaik. Banyak peningkatan dipamerkan dalam usaha untuk mencapai apa yang kami impikan (layak ke Olimpik)," katanya merujuk kepada situasi yang berlaku di Hangzhou.

Skuad negara mempunyai peluang terakhir untuk layak ke Paris sekali gus menamatkan kemarau 23 tahun gagal layak ke temasya sukan terbesar dunia itu sejak edisi 2000 di Sydney, iaitu dengan menyambar tiket pada kelayakan Olimpik bermula Januari tahun depan.

Kelayakan Olimpik yang akan berlangsung di Muscat, Oman dan Valencia, Sepanyol itu dilihat lebih memberi peluang kepada skuad negara untuk layak berbanding format kelayakan Olimpik Tokyo 2020 empat tahun lalu.

Skuad negara meraih pencapaian mengecewakan di Hangzhou apabila menamatkan kempen di tempat keenam, jauh daripada sasaran awal untuk memenangi pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 9:12 PM