JEPUN sememangnya sedang serius membentuk pasukan yang mantap. FOTO L MANIMARAN
JEPUN sememangnya sedang serius membentuk pasukan yang mantap. FOTO L MANIMARAN
Saiful Affendy Sapran


Ipoh: Jepun dilihat mampu menjadi kuasa baharu dalam sukan hoki di Asia selepas menjulang Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) buat kali pertama dengan menewaskan pasukan yang mempunyai sejarah hebat dalam sukan itu, Pakistan di pentas final, semalam.

Skuad bimbingan ketua jurulatih, Yoshihiro Anai meraih kemenangan dramatik menerusi penentuan penalti 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa penuh di Stadium Hoki Azlan Shah.

Jepun sememangnya sedang serius membentuk pasukan yang mantap untuk misi memenangi pingat emas apabila mereka menjadi tuan rumah Sukan Asia 2026 di Aichi Nagoya dalam mendapatkan tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Bagi Anai, ia adalah pencapaian yang amat membanggakan untuk barisan pemainnya sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk menghadapi kejohanan selepas ini.

"Saya hanya dapat melakukan persiapan selama seminggu untuk kejohanan ini dengan menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan lain bagi mengkaji corak permainan mereka.

"Saya juga cuba sebaik mungkin melihat potensi yang ada pada setiap pemain dan cuba mencari kaedah untuk merapatkan jurang dengan pasukan lain yang bertanding di sini.

"Akhirnya kami berjaya muncul juara dan ia memberi pengalaman yang amat bermakna kepada setiap pemain," katanya.

Kemenangan pada edisi ke-30 PSAS memperbaiki pencapaian mereka sebelum ini iaitu menduduki tempat keempat dua tahun lalu di mana mereka tewas 3-5 kepada Pakistan dalam penentuan tempat ketiga.

Skuad Samurai melakar rekod tanpa kalah dalam kesemua enam perlawanan pada edisi kali ini dengan menjaringkan 14 gol dan hanya dibolosi tujuh kali sepanjang tempoh itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 1:46 PM