HAMIDIN sahkan skuad hoki boleh disenaraikan dalam RTG jika menang emas di Sukan Asia Hangzhou. FOTO AZIAH AZMEE
HAMIDIN sahkan skuad hoki boleh disenaraikan dalam RTG jika menang emas di Sukan Asia Hangzhou. FOTO AZIAH AZMEE
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Berita baik buat skuad hoki lelaki negara apabila mereka mungkin akan disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG) sekiranya berjaya membawa pulang pingat emas di Sukan Asia Hangzhou sekali gus layak secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Perkembangan itu diumumkan sendiri, Ketua kontinjen Malaysia (CDM) ke Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin, yang memberitahu temasya di Hangzhou, China itu adalah peluang keemasan buat anak buah Arul Selvaraj untuk meraih tiket beraksi di temasya terbesar dunia berkenaan.

"Sukan Asia ini adalah yang paling senang sedikit walaupun perlu berdepan India, Jepun dan Pakistan. Mereka juga pernah masuk final di Jakarta (2018), ini adalah peluang dan jika layak ia adalah satu pencapaian yang besar," katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad hoki lelaki negara berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik adalah pada edisi 2000 di Sydney, Australia dan mengakhiri saingan di tempat ke-11.

Malaysia hampir mengesahkan tiket secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas berjaya mara ke final Sukan Asia Jakarta 2018 sebelum tewas menerusi penentuan penalti di tangan Jepun.

Andai gagal meraih tiket menerusi Sukan Asia Hangzhou, skuad hoki negara masih berpeluang untuk layak ke Paris menerusi pusingan kelayakan akhir namun berdepan laluan berliku apabila perlu bertemu pasukan gergasi dari Eropah.

Situasi itu dialami Malaysia pada pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan skuad negara tewas di tangan Great Britain.

Untuk rekod, setakat ini, belum ada acara berpasukan yang disenaraikan dalam program RTG yang diwujudkan bagi menjelmakan kilauan pingat emas pertama Malaysia di Olimpik Paris 2024 apabila menyaksikan kesemua 15 atlet adalah membabitkan sukan individu iaitu daripada badminton, berbasikal trek dan terjun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 5:18 PM