VAN HUIZEN (kanan) harap pemain negara dapat bangkit hadapi kelayakan Sukan Olimpik. -Foto FATHIL ASRI
VAN HUIZEN (kanan) harap pemain negara dapat bangkit hadapi kelayakan Sukan Olimpik. -Foto FATHIL ASRI
Saiful Affendy Sapran

 

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen berharap barisan pemainnya akan memperoleh semula semangat dan bangkit untuk menghadapi kempen kelayakan ke Sukan Olimpik tahun depan selepas penamat memilukan di Sukan Asia Indonesia.

Pingat emas di Sukan Asia yang menjamin tiket automatik ke Sukan Olimpik sudah berada dalam genggaman apabila pada satu ketika skuad negara selesa mendahului 5-2 bertemu Jepun di pentas final.

Namun Jepun akhirnya keluar sebagai pemenang apabila menewaskan skuad negara menerusi penentuan penalti 3-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 6-6 pada masa penuh sekali gus memusnahkan impian Malaysian Tigers.

Kini Stephen menuntut setiap pemainnya untuk mencari semula kekuatan diri masing-masing bagi menghadapi kempen kelayakan yang beliau sendiri akui lebih sukar.

"Kekalahan ini sangat menyakitkan dan saya sendiri dapat merasakan apa yang dirasai oleh setiap pemain. Harap segala pengajaran yang diperolehi di Indonesia menjadikan setiap pemain lebih kuat,” kata Van Huizen.

"Tiada sebarang jaminan kami mampu layak ke Sukan Olimpik kerana saya akui cabaran di kempen kelayakan lebih sukar. Tetapi yang penting ialah kami masih mempunyai satu lagi peluang dan setiap pemain pasti akan memberikan yang terbaik.”

Menurut Van Huizen, andai perjuangan kedua itu juga menemui titik kegagalan, dia berpendapat barisan pemainnya harus diberi penghormatan kerana sudah berjuang sehabis baik.

"Pada akhirnya setiap pemain sudah melakukan segala-galanya dan berkorban untuk negara. Mereka akan berehat selama seminggu dan harap apabila kembali semula bersama pasukan, mereka sedar sudah memberi sumbangan besar di Sukan Asia meskipun gagal dalam misi utama layak ke Olimpik," katanya.

Skuad negara bakal melalui ranjau berliku apabila perlu menamatkan saingan di kedudukan kedua terbaik pada Final Siri Hoki yang akan berlangsung dari 23 April sehingga 1 Mei 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, yang membabitkan tujuh lagi pasukan.

 Anda melepasi peringkat itu, Malaysia akan beraksi di saingan Kelayakan Olimpik pada hujung tahun depan yang menjadi menjadi peringkat terakhir sebelum layak beraksi di Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 1:18 PM