WAYNE Rooney. FOTO AFP
WAYNE Rooney. FOTO AFP
Agensi

London: Wayne Rooney memberikan pandangannya mengenai prestasi England pada Euro 2024 dan menamakan seorang pemain yang dilihat mampu menyelesaikan masalah dihadapi skuad kebangsaan ketika ini.

The Three Lions bermula dengan kemenangan pada perlawanan pembukaan kumpulan menentang Serbia sebelum mempamer aksi hambar menentang Denmark sehingga menyaksikan mereka seri 1-1.

Ini bermakna, anak buah Gareth Southgate mesti mengelak daripada mengalami kekalahan dalam perlawanan terakhir menentang Slovenia untuk menjamin tempat ke pusingan 16 terakhir.

Seperti biasa, terdapat jangkaan yang tinggi terhadap England untuk Euro 2024 selepas kekalahan mengecewakan mereka di final tiga tahun lalu.

Terdapat beberapa pemain yang tidak tersenarai dalam 26 pemain terakhir dengan beberapa pemain berpengalaman turut tidak terpilih untuk terbang ke Jerman.

Bekas peledak England, Wayne Rooney adalah antara mereka yang tidak bersetuju dengan pilihan Southgate dan menamakan seorang pemain yang sepatutnya mampu menyelesaikan masalah di hadapi England ketika ini.

Menulis dalam ruangannya di The Times, Rooney berkata, Southgate memilih pemain kurang berpengalaman dan pasukan itu sepatutnya disertai oleh Jordan Henderson.

"Skuad pilihan Southgate dilihat tidak seimbang. Saya pernah menulis sebelum Euro 2024 yang mana meletakkan Trent Alexander-Arnold di bahagian tengah adalah satu kesilapan.

"Saya juga mencadangkan Anthony Gordon sepatutnya bermain di sebelah kiri untuk memberi England kekuatan di posisi itu.

"Jude Bellingham dan Phil Foden harus bermain di hadapan Declan Rice. Gareth telah memilih pemain kurang pengalaman dan mereka sepatutnya memerlukan Jordan Henderson," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 7:33 PM