MAGUIRE (kiri) dan Chalobah dipanggil buat kali pertama sarung jersi England. -Foto Agensi
MAGUIRE (kiri) dan Chalobah dipanggil buat kali pertama sarung jersi England. -Foto Agensi
AFP

LONDON: Pengurus England, Gareth Southgate memanggil buat kali pertama Harry Maguire dan Nathaniel Chalobah bagi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Malta dan Slovakia bulan depan.

Dalam skuad pertama England sejak Wayne Rooney mengumumkan persaraan antarabangsa, Southgate menamakan pertahanan Leicester, Maguire dan pemain tengah Watford, Chalobah dalam skuad 28 pemain untuk berdepan Malta (1 September) dan Slovakia (4 September) pada kelayakan Piala Dunia.

Southgate meminta Rooney menyertai skuad itu, namun penyerang Everton itu, yang menjadi penjaring gol terbanyak England sepanjang zaman, mengumumkan dia memutuskan untuk menamatkan karier antarabangsa pada usia 31 tahun, Rabu lalu.

Southgate gembira dengan peluang memanggil Maguire ketika kecederaan menghalangnya daripada panggilan skuad England ketika seri menentang Scotland pada kelayakan Piala Dunia dan aksi persahabatan bertemu Perancis hujung musim lalu.

Maguire tampil bagi musim sulungnya bersama Leicester selepas meninggalkan Hull dan Southgate berkata: “Saya fikir persembahannya bersama Hull amat bagus. Dia pemain pertahanan yang amat selesa dengan bola dan itulah profil bagi bola sepak antarabangsa.

“Saya fikir dia sudah menyesuaikan diri di kelab baru Leicester. Dia bermain dengan penuh keazaman dan boleh mengekang lawan dalam kotak penalti. Jadi saya fikir ia peluang baik bagi kami memantaunya.”

Chalobah dibenar meninggalkan Chelsea hujung musim lalu selepas bergelut merebut tempat dalam skuad Antonio Conte namun Southgate kagum dengan persembahannya bersama Watford dan pasukan B-21 England.

Penyerang Arsenal, Danny Welbeck kembali menyertai skuad itu sesudah tidak beraksi sejak menang ke atas Jerman pada Mac 2016 namun pemain tengah Liverpool, Adam Lallana diketepikan kerana kecederaan.

SKUAD ENGLAND

Penjaga gol: Joe Hart (West Ham), Jack Butland (Stoke), Jordan Pickford (Everton), Tom Heaton (Burnley)

Pertahanan: Ryan Bertrand (Southampton), Aaron Cresswell (West Ham), Gary Cahill (Chelsea), Phil Jones (Man Utd), Harry Maguire (Leicester), John Stones (Man City), Michael Keane (Everton), Chris Smalling (Man Utd), Kyle Walker (Man City), Kieran Trippier (Tottenham)

Tengah: Eric Dier (Tottenham), Nathaniel Chalobah (Watford), Jake Livermore (West Brom), Jordan Henderson (Liverpool), Raheem Sterling (Man City), Alex Oxlade-Chamberlain (Arsenal), Dele Alli (Tottenham), Jesse Lingard (Man Utd)

Penyerang: Marcus Rashford (Man Utd), Danny Welbeck (Arsenal), Harry Kane (Tottenham), Jamie Vardy (Leicester), Daniel Sturridge (Liverpool), Jermaine Defoe (Bournemouth)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 9:57 AM