KANE (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
KANE (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

London: Harry Kane meletakkan England semakin hampir untuk layak ke Piala Dunia selepas muncul penjaring terbanyak pada perlawanan kompetitif dengan meledak hatrik ketika membelasah Albania 5-0, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Gareth Southgate kini hanya memerlukan keputusan seri pada perlawanan terakhir Kumpulan I di San Marino untuk mengesahkan tempat ke kejohanan berprestij itu pada tahun depan di Qatar.

Selepas Harry Maguire meletakkan England di depan pada awal babak pertama, Kane mempamerkan penyudah cemerlang selepas itu di Wembley.

Hatrik yang dilakukan bintang Tottenham itu pada separuh masa pertama menyaksikannya mengatasi Wayne Rooney untuk melakar rekod baru apabila meledak 39 gol dalam 55 perlawanan kompetitif di pentas antarabangsa.

Rooney masih memegang rekod England di semua pertandingan dengan menjaringkan 53 gol manakala Kane kini menyamai Jimmy Greaves dengan 44 gol.

Kane melalui musim sukar di Tottenham apabila hanya menjaringkan satu gol daripada 10 penampilan di Liga Perdana dan dia mengakui agak bergelut dari sudut mental dan fizikal sejak England tewas pada final Euro 2020 kepada Itali, Julai lalu.

"Memang ada sedikit tekanan. Setiap kali mendapat peluang, saya rasa mampu menjaringkan gol. Saya sepatutnya dapat menjaringkan enam gol," kata Kane.

Jordan Henderson turut menyumbang gol untuk England sekali gus lima gol dijaringkan pada separuh masa pertama.

Sementara itu Southgate berpuas hati dengan prestasi barisan pemainnya yang mempamerkan aksi cemerlang.

"Separuh masa pertama sangat menakjubkan. Kami dapat mempamerkan aksi terbaik apabila mempunyai kelebihan dan prestasi seperti ini meletakkan kami semakin menghampiri Piala Dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 7:29 AM