Rooney memulakan tiga aksi terakhir bersama United di bangku simpanan.
Rooney memulakan tiga aksi terakhir bersama United di bangku simpanan.
AFP

Burton-on-Trent, England: Pengurus sementara England, Gareth Southgate membayangkan beliau mungkin meminta kapten Wayne Rooney (gambar) terus bermain di bahagian tengah buat pasukan negaranya.

Rooney, 30, memulakan tiga aksi terakhir Manchester United di bangku simpanan berikutan perdebatan mengenai tempat terbaik buatnya untuk beraksi ketika kekuatan fizikalnya semakin mengendur.

Pengurus kelab Jose Mourinho dan Sam Allardyce, pengurus England bagi satu perlawanan, mengumumkan perancangan untuk menggunakannya sebagai pemain nombor 10, sekalipun mereka kemudian menggunakannya di bahagian tengah.

“Saya tidak mahu melawan Jose, tapi saya fikir Wayne boleh bermain di beberapa posisi berbeza,” kata Southgate, yang terus mengekalkan Rooney sebagai kapten.

“Hanya satu perkara yang saya mahu tegaskan dalam pasukan ini mengenai disiplin taktikal dan disiplin posisi.

“Jadi di mana saja posisi anda bermain, ia jelas dan pemain amat memahaminya.”

Rooney, penjaring gol terbanyak England (53 gol) dan pemain yang bermain paling banyak (116 caps) selain penjaga gol, beraksi di bahagian tengah di bawah kendalian Roy Hodgson ketika kempen Euro 2016 yang mengecewakan.

Mourinho kemudiannya nekad Rooney tidak akan bermain buatnya di bahagian tengah namun dia tampil tiga kali buat United musim ini.

Allardyce turut melahirkan hasrat menggunakan Rooney lebih sebagai penyerang namun bekas pemain Everton itu lebih banyak bertindak di tengah ketika menang 1-0 ke atas Slovakia bulan lalu.

Menyatakan pengalaman luas Rooney di peringkat antarabangsa, Allardyce menyatakan “bukan hak saya untuk berkata di mana dia akan bermain.”

Southgate mengakui kekurangan aksi Rooney bersama United “tidak ideal” dan enggan mengesahkan sama ada dia akan turun dalam kesebelasan utama pada kelayakan Piala Dunia di laman sendiri menentang Malta, awal pagi Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 8:10 AM