NAGELSMANN mahu Jerman muncul juara Kumpulan A. -FOTO AFP
NAGELSMANN mahu Jerman muncul juara Kumpulan A. -FOTO AFP
Reuters

Berlin: Jerman sedang menikmati permulaan terbaik mereka dalam tempoh lebih dari satu dekad tetapi tuan rumah Euro 2024 ingin yang lebih manis dengan merangkul tiga kemenangan peringkat kumpulan apabila mereka berdepan dengan Switzerland esok.

Tiga kemenangan itu akan mengesahkan mereka muncul juara Kumpulan A dan bertemu lawan yang lebih mudah di peringkat kalah mati.

Dua kemenangan mereka menandakan permulaan yang lebih baik daripada Piala Dunia 2014 ketika kali terakhir mereka memenangi gelaran antarabangsa utama.

Jerman memerlukan sekurang-kurangnya seri melawan Switzerland untuk mengelakkan berada di tempat kedua dalam kumpulan dan terpaksa bermain dengan pasukan kedua terbaik dari Kumpulan B.

Ini boleh menyebabkan perlawanan di peringkat 16 terakhir akan menjadi lebih sukar apabila mungkin berdepan pasukan dari kumpulan Itali, Sepanyol, Croatia dan Albania.

Menjuarai kumpulan akan memberi Julian Nagelsmann dan pasukannya laluan yang lebih mudah menentang pasukan kedua dalam Kumpulan C.

England kini mengetuai kumpulan itu dengan empat mata, diikuti Denmark dan Slovenia yang kedua-duanya dengan dua mata, dan Serbia dengan satu mata.

"Muncul juara kumpulan adalah penting. Kami mahu menang dalam semua perlawanan kami," kata Nagelsmann selepas kemenangan 2-0 Jerman ke atas Hungary dalam perlawanan kumpulan kedua mereka.

Jurulatih yang mengendalikan negara itu pada September tahun lalu itu kembali menghidupkan harapan buat juara tiga kali Jerman dan menurunkan barisan yang sama dalam dua perlawanan pertamanya dan beliau dijangka tidak akan membuat perubahan besar dalam kesebelasan utama.

"Saya fikir penting untuk mempunyai barisan pemain yang sama di padang supaya kami dapat mengekalkan rentak.

"Jangan harap ada tujuh perubahan kepada pasukan. Saya boleh menafikan itu sekarang," katanya

Pemainnya memberikan persembahan yang meyakinkan apabila meraih kemenangan 5-1 ke atas Scotland dan kemenangan mereka ke atas Hungary.

Nagelsmann kemungkinan akan mengekalkan trio penyerang tengah terdiri daripada kapten, Ilkay Gundogan bersama Jamal Musiala dan Florian Wirtz yang menjadi kunci kepada permulaan kemenangan mereka.

Mungkin ada perubahan di bahagian belakang dengan Pascal Gross mungkin menggantikan Robert Andrich di hadapan pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 11:13 AM