BARISAN pemain Jerman giat menjalani latihan. FOTO AFP
BARISAN pemain Jerman giat menjalani latihan. FOTO AFP
Reuters

Berlin: Penyokong Jerman menyambut permulaan Euro 2024 di tanah air dengan lebih banyak harapan daripada jangkaan.

Tetapi prestasi skuad kebangsan mengejutkan ramai pihak dan kini mereka adalah pencabar serius untuk memenangi gelaran, kata pemenang Piala Dunia Jerman, Olaf Thon kepada Reuters.

Legenda berusia 58 tahun itu, yang menjaringkan gol ketika menentang Denmark di halaman sendiri dekat Gelsenkirchen pada Kejohanan Eropah 1988, kini mengglas tugas selaku pengulas untuk Sport1, di mana beliau memberikan analisis mengenai saingan Bundesliga dan pasukan kebangsaan Jerman.

"Tahun lalu, saya meramalkan bahawa Jerman tidak akan pergi jauh, tetapi berdasarkan perlawanan peringkat kumpulan dan prestasi pasukan lain seperti Sepanyol dan Perancis, saya rasa kami pasti boleh bersaing dengan mereka.

"Kami mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri, dengan peminat sebagai pemain ke-12 ... dan kini, saya percaya bahawa segala-galanya adalah mungkin untuk Jerman. Kami boleh memenangi gelaran," kata Thon dalam satu temu bual.

Ramalan sebelum kejohanan oleh Thon dan ramai penyokong Jerman sangat dipengaruhi oleh rentetan keputusan buruk pada tahun lalu, di mana Jerman seri dua kali dan kalah enam daripada 11 perlawanan persahabatan.

Namun, mereka memulakan saingan Euro 2024 dengan kemenangan 5-1 menewaskan Scotland dan kemenangan selesa 2-0 ke atas Hungary.

Ia sekali gus memastikan Jerman menjadi pasukan pertama mara ke peringkat kalah mati dan jurulatih Julian Nagelsmann dilihat sukar untuk membuat keputusan pemain mana perlu diberi peluang untuk beraksi bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Switzerland.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 6:45 PM