NAGELSMANN lanjut kontrak bersama skuad kebangsaan Jerman. FOTO AFP
NAGELSMANN lanjut kontrak bersama skuad kebangsaan Jerman. FOTO AFP
Reuters

Berlin: Pengurus Jerman Julian Nagelsmann melanjutkan kontraknya sehingga tamat Piala Dunia 2026, kata Persatuan Bolasepak Jerman (DFB).

Nagelsmann menggantikan Hansi Flick sebagai jurulatih Jerman September lalu dan pada mulanya menandatangani kontrak hingga berakhir Euro 2024, yang mana Jerman akan menjadi tuan rumah pada Jun depan.

Jurulatih berusia 36 tahun itu menikmati permulaan bercampur-baur dalam kendaliannya, tetapi baru-baru ini memenangi perlawanan persahabatan berturut-turut menentang Perancis dan Belanda.

Jerman selepas ini akan mengadakan dua lagi perlawanan pemanas badan dengan Ukraine dan Greece sebelum Euro, yang menyaksikan mereka diundi satu kumpulan bersama Scotland, Hungary dan Switzerland.

"Dengan persembahan yang berjaya dan bersemangat, kami mempunyai peluang untuk menumpaskan semua negara. Dua kemenangan menentang Perancis dan Belanda pada Mac memberikan gambaran awal," kata Nagelsmann dalam satu kenyataan.

"Saya sangat terharu dengan keghairahan peminat. Terus bersama kami beraksi mencari kejayaan Euro di laman sendiri, kami semua bersemangat. Selepas itu, saya sangat menantikan cabaran Piala Dunia bersama pasukan bimbingan saya."

Nagelsmann dikaitkan dengan untuk membimbing pasukan di Liga Perdana Inggeris dan Bundesliga.

"Ia adalah isyarat kuat untuk DFB dan pasukan kebangsaan bahawa Julian Nagelsmann akan kekal sebagai jurulatih kebangsaan selepas Euro di tempat sendiri. Beliau berada dalam senarai buruan banyak kelab besar di seluruh Eropah," kata Presiden DFB, Bernd Neuendorf.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 8:17 PM